Jabatan Penjara zahir penghargaan Sultan Perak biaya makanan tengah hari banduan

TAIPING – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyumbang sebanyak RM85,200 bagi membiayai makan tengah hari kepada 7,100 banduan dan tahanan negeri ini bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Penjara Negeri Perak, Charin Promwichit berkata, hidangan istimewa kurniaan baginda itu disediakan kepada penghuni Penjara Taiping, Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah.

Justeru beliau berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin atas perkenan baginda menyumbang makan tengah hari kepada semua banduan dan tahanan di seluruh Perak.

“Jabatan Penjara Negeri Perak amat berbesar hati menerima sumbangan ini dan ia adalah satu penghargaan buat mereka yang berada di sini.

“Malah saya difahamkan ini pertama kali diadakan (pembiayaan makanan tengah hari oleh Sultan Perak) dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.

“Lazimnya diet penghuni ini ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan istimewa kali ini, mereka menikmati hidangan nasi beriani, ayam masak merah, dalca dan rendang tok yang disumbangkan pihak Istana,” katanya.

Sesi bergambar pegawai dan anggota Jabatan Penjara Negeri Perak bersama Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini di hadapan Penjara Taiping.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Banduan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak ke-67 di Dataran Kedamaian Penjara Taiping di sini, pada Jumaat.

Majlis disempurnakan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Penjara Taiping, Nazri Mohamad.

Pengarah Jabatan Penjara Negeri Perak, Charin Promwichit.

Dalam pada itu, Charin menjelaskan program tersebut merupakan sebahagian daripada dasar Jabatan Penjara dalam membentuk jaringan sosial bersama agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Program ini mensasarkan dua per tiga daripada jumlah banduan di dalam penjara akan menjalani hukuman atau pemulihan bersama komuniti.

“Medium tersebut menjadi teras kepada peranan masyarakat untuk menerima kembali insan-insan ini selain membentuk diri mereka agar mematuhi undang-undang,” katanya.

Media pada Khamis melaporkan Sultan Nazrin berkenan mengurniakan hidangan makanan tengah hari istimewa kepada 7,100 banduan dan tahanan di Perak bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-67. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Sultan Perak berkenan biaya makan tengah hari 7,100 banduan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI