Syarikat utiliti perlu permit JKR sebelum laksanakan kerja korek jalan

IPOH – Semua syarikat utiliti termasuk agensi kerajaan diwajibkan mendapatkan kebenaran dan permit daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum menjalankan sebarang kerja lapangan, khususnya melibatkan kerja pengorekan di rizab jalan di bawah seliaan jabatan berkenaan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) akan berkerjasama dengan JKR dengan memetakan keseluruhan bagi mengenal pasti kedudukan paip utiliti dan kabel yang tersembunyi di sebelum sesuatu permohonan pengorekan diluluskan.

Menurutnya, permit itu penting bagi mengelakkan pertindihan di antara syarikat utiliti yang akan melaksanakan kerja tersebut selepas mendapat kebenaran pengorekan rizab jalan itu.

“Sebelum mereka (syarikat utility) dapat membuat kerja-kerja lapangan, mereka kena meminta kelulusan daripada JKR. Mereka kena mendapatkan permit daripada JKR. Tanpa permit, mereka tidak boleh masuk.

“Perkara ini sebenarnya amat penting kepada semua syarikat utiliti, termasuk juga agensi-agensi kerajaan Mereka nak buat paip air ke, paip gas ke, mereka kena mendapatkan kelulusan permit daripada JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Sesi Town Hall JKR Perak bersama KUDR dan Syarikat Utiliti di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif KUDR, Adham Nasri Mohamad.

Mohammad Nizar berkata, melalui kerjasama JKR dan KUDR, kaedah pemetaan dilaksanakan bagi mengenal pasti kedudukan kabel atau paip sedia ada sebelum kerja pengorekan dijalankan.

Syarikat utiliti perlu permit JKR sebelum jalankan kerja korek jalan
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim pada Program Sesi Town Hall JKR Perak Bersama Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) Dan Syarikat Utiliti di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2026

“Kalau sekiranya berlaku pelanggaran dengan mana-mana kabel, maklumat akan diberikan supaya kawasan-kawasan tersebut dapat dielakkan, termasuk lokasi dan kedalaman kabel berkenaan. Semua maklumat ini diperoleh melalui proses pemetaan bawah tanah.

“Biasanya, perkara seperti ini berlaku dahulu kerana kita tidak mempunyai pemetaan. Sebagai contoh, pihak yang ingin menjalankan kerja membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Setelah mendapat kelulusan daripada PBT, mereka menjalankan kerja-kerja pengorekan.

“Akibatnya, kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) mungkin terkena atau paip Lembaga Air Perak (LAP) mungkin rosak.

“Kini kita dapat mengelakkan perkara tersebut dengan adanya pemetaan bawah tanah. InshaAllah, maklumat-maklumat ini akan diperluaskan kepada semua PBT melalui JKR, khususnya melalui sistem permit daripada JKR,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKR akan menentukan kaedah pelaksanaan dan pematuhan piawaian bagi kerja-kerja penyempurnaan jalan.

Tambahnya, piawaian JKR menetapkan had, spesifikasi dan kriteria tertentu bagi memastikan kerja-kerja penurapan dilaksanakan dengan sempurna dan mempunyai ketahanan yang sewajarnya.

“Pemilihan kontraktor hendaklah dibuat berdasarkan keupayaan dan pematuhan terhadap spesifikasi serta piawaian yang telah ditetapkan oleh JKR, dan bukan semata-mata berdasarkan faktor kos yang rendah.

“Langkah ini penting bagi memastikan kerja-kerja penurapan semula jalan dilaksanakan dengan berkualiti, tahan lama dan tidak menjejaskan keadaan serta keselamatan jalan raya,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak serah JKR buat penilaian jambatan uzur di Kampung Lubuk Gaharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI