Tangguh aksi dengan JDT: Perak FC dakwa tidak diberi ruang berbincang

IPOH – Perak FC mendakwa tidak diberi ruang dan peluang untuk berbincang susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan perlawanan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak akibat cuaca hujan, pada Sabtu.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi  turut melahirkan rasa kecewa sambil mendakwa tiada perancangan rapi dan notis awal daripada MFL berhubung perkara itu.

Katanya, Stadium Perak telah dinilai dan diluluskan penggunaannya sebelum musim Liga Malaysia kali ini berlangsung serta sebelum perlawanan yang dijadualkan malam tadi.

“Kami mengakui dan sentiasa menyokong keperluan untuk penambahbaikan pada padang di stadium tersebut.

“Walaupun stadium ini tidak diuruskan secara langsung oleh Perak FC, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas usaha mereka yang berterusan untuk menaik taraf padang dan aspek lain di stadium ini.

“Seperti yang sedia maklum, Perak FC akan bermain di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Manjung bagi baki musim 2024/2025 kerana kerja-kerja penaiktarafan padang Stadium Perak,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Ahad.

Tambah Abdul Azim, kurangnya pertimbangan terhadap para penyokong antara pasukan Perak FC dan JDT yang telah hadir ke Stadium Perak merupakan isu utama dalam hal ini.

Kata beliau, lebih 10,000 penyokong kedua-dua pasukan telah hadir dengan perbelanjaan sendiri untuk menyaksikan perlawanan berkenaan, dan sehingga jam 6 petang pemeriksaan menunjukkan bahawa perlawanan tidak akan dibatalkan.

“Pihak MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira serta menjaga kepentingan semua pemegang taruh, khususnya para penyokong.

“Perak FC ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada pihak MFL bahawa penyokong adalah nadi kepada sukan ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Perak FC atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Kami juga berharap agar pihak MFL akan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan lebih terancang pada masa hadapan bagi mengelakkan keadaan seperti ini berulang lagi,” jelasnya.

Pada Sabtu media melaporkan, aksi Liga Super antara Skuad The Bos Gaurus dengan JDT yang sepatutnya berlangsung malam tadi, ditunda sekali lagi ke tarikh baru ekoran cuaca hujan.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 8.15 malam itu, ditangguh sebanyak dua kali kepada 8.45 malam dan seterusnya 9.15 malam oleh Komisioner Perlawanan Teoh Hee Loon.

MFL kemudian mengumumkan aksi ditangguhkan atas faktor cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan, selain akan menetapkan tarikh baharu.

Pada 17 Ogos lalu, perlawanan bagi kedua-dua pasukan itu di Stadium Perak juga terpaksa ditunda disebabkan oleh masalah sama. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

500 polis tingkat kawalan keselamatan perlawanan Perak FC-JDT malam ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI