IPOH – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Majlis Simposium ‘Women in Medicine 2026’ sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel AC by Mariott di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 9.30 pagi disambut oleh isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin.
Hadir sama, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datin Che Fauziah Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Perak, Dr Monash Pillai.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Zara berkenan menyempurnakan lafaz perasmian, diikuti dengan menandatangani plak sebagai tanda simbolik perasmian.
Memasuki penganjuran kali kelima, simposium ini menjadi antara program utama tahunan MMA Perak yang menghimpunkan doktor, pengamal kesihatan, ahli akademik, pembuat dasar serta pelajar perubatan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kesihatan wanita, di samping meraikan peranan dan kepimpinan wanita dalam profesion perubatan.
Simposium tahun ini yang diterajui Pakar Bedah Pediatrik, Dr John Emmanuel menampilkan barisan penceramah berwibawa dari pelbagai institusi kesihatan dan akademik negara.
Antaranya ialah, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Pakar Perunding Imunologi Pediatrik dan Pakar Penyakit Berjangkit Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr S Sangeetha dan Pakar Pergigian (Odontologi Forensik) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr K Radhadevi.
Pelbagai topik diketengahkan pada simposium kali ini termasuk keselamatan penggunaan ubat dalam kalangan wanita, odontologi forensik dalam penyiasatan kes penderaan seksual dan keganasan rumah tangga.
Selain itu, topik lain yang turut disampaikan adalah kepimpinan wanita dalam penjagaan kesihatan, kesihatan imunologi wanita dan kanak-kanak, gangguan perkembangan kanak-kanak serta isu medicolegal yang melibatkan wanita dan kanak-kanak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tuanku Zara Salim berkenan rasmi Simposium ‘Women In Medicine 2025’


