TVET penjagaan warga emas, strategi tepat Perak Sejahtera 2030

IPOH – Perubahan struktur demografi yang sedang berlaku di Perak bukan lagi sekadar unjuran statistik sebaliknya berubah menjadi realiti yang menuntut tindakan strategik daripada kerajaan, institusi latihan, industri serta masyarakat.

Menjadi antara negeri yang mempunyai populasi warga emas tertinggi di Malaysia, Perak kini berada pada fasa penting membangunkan ekosistem penjagaan warga emas lebih tersusun, profesional dan mampan.

Justeru, usaha kerajaan negeri memperkukuhkan bidang penjagaan warga emas melalui latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai langkah tepat yang selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Hakikatnya, kerjaya sebagai ‘caregiver’ bukanlah pekerjaan yang mudah ekoran ia bukan sekadar membantu memenuhi keperluan fizikal warga emas, sebaliknya memerlukan kekuatan emosi, tahap profesionalisme tinggi serta nilai empati, kesabaran dan ihsan yang mendalam.

Inisiatif kerajaan negeri melalui Perbadanan Aspirasi Anak Perak (PASAK) bersama Wanita Perak memperkenalkan Kursus KAIGO-Lite: The Essence of Caregiving dan Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional dlihat bertepatan selari dengan persediaan Perak sebagai negeri menua.

Kewujudan kursus berkenaan membuktikan bahawa lahirnya generasi baharu tenaga penjaga profesional yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah mengangkat nilai kemanusiaan sebagai teras perkhidmatan.

Perkara berkenaan diutarakan sendiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dalam ucapan beliau pada Majlis Makan Malam Santunan Kasih 2026 baru-baru ini.

Katanya, inilah sebenarnya acuan modal insan yang diperlukan bagi memacu pembangunan ‘Silver Economy’ di Perak menjelang tahun 2030.

“Melalui kerjasama PASAK bersama Wanita Perak, inisiatif latihan di bawah program Santunan Kasih menunjukkan pendekatan pembangunan modal insan tidak lagi hanya tertumpu kepada kebolehpasaran pekerjaan semata-mata, tetapi turut membina masyarakat penyayang yang mampu menghadapi cabaran negeri menua.

Warga emas yang hadir pada Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 OKTOBER 2025.

“Lebih penting, program ini membawa mesej bahawa latihan TVET hari ini tidak lagi terbatas kepada bidang teknikal dan perindustrian,” katanya.

Ia sudah cukup membuktikan bidang penjagaan kini muncul sebagai sektor ekonomi baharu yang mempunyai potensi besar untuk menjana peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat serta memenuhi permintaan industri penjagaan yang semakin berkembang.

Konsep ‘Manusia Menyantuni Manusia’ yang menjadi asas kepada latihan ini turut memperlihatkan bahawa pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial tidak seharusnya bergerak secara berasingan. Sebaliknya, kedua-duanya saling melengkapi dalam melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera.

Dalam konteks Pelan Perak Sejahtera 2030, pembangunan industri penjagaan warga emas jelas menyokong teras pembangunan modal insan serta kesejahteraan sosial negeri.

Pelan tersebut bukan sahaja memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, malah menggariskan keperluan membina masyarakat inklusif yang memastikan setiap lapisan generasi menerima manfaat pembangunan.

Bidang penjagaan warga emas memenuhi kedua-dua objektif tersebut.

Dari sudut sosial, ia meningkatkan kualiti hidup warga emas melalui penyediaan penjagaan yang lebih profesional dan sistematik.

Dari sudut ekonomi pula, ia membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak Perak, sekali gus mengukuhkan ekonomi isi rumah.

Keberkesanan pendekatan ini dapat dilihat melalui pencapaian program yang direkodkan sehingga Disember 2025.

Sebanyak 66 peratus alumni melaporkan peningkatan pendapatan bulanan, manakala 25 peratus berjaya menggandakan pendapatan mereka melebihi dua kali ganda.

Lebih signifikan, keseluruhan alumni program telah menyumbang kepada unjuran peningkatan pendapatan terkumpul sebanyak RM1.75 juta.

Gambar Fail: Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni warga emas yang sedang membuat pemeriksaan telinga pada Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 OKTOBER 2025.

Angka ini memberi gambaran jelas bahawa pelaburan Kerajaan Negeri dalam TVET berasaskan penjagaan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial, malah menghasilkan pulangan ekonomi yang nyata kepada rakyat.

Model pembangunan seperti ini selari dengan konsep silver economy yang sedang diberikan perhatian di banyak negara maju, iaitu menjadikan peningkatan populasi warga emas sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan industri penjagaan, teknologi kesihatan, latihan kemahiran serta peluang pekerjaan baharu.

Dalam konteks Perak, pembangunan silver economy bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik.

Dengan pertambahan populasi warga emas, permintaan terhadap tenaga penjaga profesional dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Maka, langkah kerajaan menyediakan latihan, pensijilan profesional dan pengiktirafan kepada tenaga kerja dalam bidang ini merupakan persediaan awal yang cukup signifikan bagi memastikan negeri memiliki kapasiti sumber manusia yang mencukupi.

Pada masa sama, pengiktirafan kepada seramai 60 peserta yang menamatkan latihan pada tahun ini, selain kejayaan melahirkan 356 alumni sebelum ini, menjadi bukti bahawa pembangunan modal insan dalam sektor penjagaan sedang berkembang secara konsisten.

Kejayaan tersebut turut didukung oleh kerjasama strategik bersama institusi latihan seperti UNIKL RCMP, MASOC CARE, Sunshine Qualicare Sdn. Bhd. serta Retirement & Recreation Management Sdn. Bhd. yang berjaya melahirkan tenaga kerja mahir mengikut piawaian industri.

Keseluruhannya, pembangunan sektor penjagaan warga emas bukan lagi boleh dilihat sebagai program kebajikan semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan pelaburan strategik yang menghubungkan pembangunan modal insan, pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negeri secara menyeluruh.

Sekiranya momentum ini diteruskan, Perak bukan sahaja berupaya menjadi negeri mesra warga emas, malah berpotensi muncul sebagai peneraju Silver Economy negara.

Akhirnya, kejayaan agenda Perak Sejahtera 2030 bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi turut dinilai berdasarkan keupayaan negeri melahirkan masyarakat yang saling menyantuni, menghargai golongan rentan dan memastikan tiada generasi yang tercicir daripada arus pembangunan.

Dalam hal ini, pembangunan profesionalisme penjagaan warga emas merupakan antara asas penting ke arah merealisasikan sebuah Perak yang benar-benar makmur, inklusif dan sejahtera menjelang tahun 2030. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI