UPSI rai 7,616 graduan pada Istiadat Konvokesyen Jubli Perak

TANJUNG MALIM – Seramai 7,616 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima ijazah dan diploma pada majlis Istiadat konvokesyen UPSI ke-25 yang akan diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City bermula esok hingga 29 November ini.

Konvokesyen UPSI kali ini merupakan sambutan kali yang ke-25 sekali gus menandakan sambutan Jubli Perak bagi universiti pendidikan tersohor tanah air itu.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata berkata, sesi pertama esok akan disempurnakan Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Menurutnya, konvokesyen kali ini akan menganugerahkan ijazah dan diploma merangkumi 121 Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma serta 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan daripada jumlah itu seorang akan menerima ijazah secara anumerta pada sesi kelapan 29 November ini.

“Sempena majlis istiadat sesi pertama juga, Tuanku Zara berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepadaTan Sri Datuk Seri Dr Ismail Bakar sebagai Ahli Lembaga Pengarah UPSI.

“Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1983 kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1995.

“Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada tahun 2004 di universiti yang sama.

“Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, beliau pernah memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia Kementerian Kewangan.

“Jawatan terakhir beliau adalah Ketua Setiausaha Negara bermula pada Ogos 2018 sehingga Disember 2019,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Tuanku Zara akan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuklah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah dari tokoh dan pemain industri pada sesi pertama.

“Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian,” ujarnya.

Katanya, tahun lalu UPSI menyambut 100 Tahun penubuhan bermula era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) seterus dinaiktaraf kepada UPSI pada 1997.

“Hari ini UPSI mempunyai pelbagai kemudahan yang lengkap dan kepakaran dalam bidang pendidikan sebagai usaha melahirkan graduan yang holistik untuk berkhidmat di sekolah-sekolah  seluruh,” katanya. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI