RM25 juta untuk tambah baik, kapasiti penginapan pelajar UPSI – PM

TANJUNG MALIM – Kerajaan meluluskan peruntukan RM25 juta bagi menambah baik kapasiti 18 blok kolej kediaman pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menyelesaikan masalah kapasiti penginapan pelajar yang tidak mencukupi.

Katanya, untuk itu, Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan dengan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff agar pembangunannya dapat disegerakan.

“Usaha ini supaya kita boleh luluskan peruntukan sebelum akhir tahun ini, dan fasa petama boleh bermula segera.

“Ia melibatkan ubah suai bilik penginapan supaya lebih ramai pelajar boleh masuk sementara menunggu pembinaan blok baru (penginapan pelajar) ditambah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Buku Negara dan Dialog Mahasiswa Temu Anwar di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Anwar menjelaskan projek itu akan dibuat melalui dana mudah cara di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu, beliau berkata, kesemua kolej kediaman di UPSI hanya mampu menampung 36 peratus daripada lebih 21,000 pelajar ketika ini.

“Ia merupakan kadar kapasiti terendah jika dibandingkan dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu sekitar 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar” katanya.

Terdahulu pada majlis, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 Yayasan Pembangunan Buku Negara.

Selain itu, beliau turut menyerahkan Anugerah Buku Negara kepada 11 penerima antaranya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Tokoh Akademik, Professor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

UPSI rai 7,616 graduan pada Istiadat Konvokesyen Jubli Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI