Warga emas maut, pelajar cedera langgar pokok tumbang di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Seorang warga emas maut manakala seorang pelajar sekolah cedera selepas dua motosikal yang ditunggang masing-masing mereka dipercayai melanggar sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan di Jalan Kampung Senggang berhampiran Sungai Perak, di sini, pagi Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.58 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi pasukan bomba mendapati ia melibatkan lelaki warga emas berusia 72, manakala seorang lagi mangsa, pelajar lelaki Melayu berusia 17 tahun, mengalami kecederaan.

“Kemalangan membabitkan dua motosikal iaitu Yamaha LC serta Yamaha Lagenda bernombor yang masing-masing melanggar sebatang pokok tumbang menghalang jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata, remaja lelaki yang cedera telah dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga emas pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas KKM.

“Pasukan bomba konsep SAVER dengan membuat pemantauan bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.

“Selepas dipastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Muhammad Khalid Mohd Idris itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.46 pagi.  – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kemalangan dua remaja maut: Polis sahkan pemandu kereta positif dadah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI