TRONG- Mayat seorang warga emas perempuan ditemui terbaring di atas katil di Kampung Temelok Trong, di sini, pada Jumaat.
Difahamkan mangsa berusia 80 tahun tinggal sebatang kara dan diuruskan jiran yang sering melawatnya.
Ketua Polis Daerah Taping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mangsa meninggal dunia disebabkan sakit tua.
“Ya ada, tapi bukan disebabkan banjir tetapi sakit tua dan tidak terlibat dengan sebarang unsur-unsur jenayah,” jawabnya ringkas.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan bomba menerima panggilan dari pihak polis kira-kira jam 9.01 pagi memaklumkan berkaitan mangsa banjir yang dipercayai sudah meninggal dunia.
“Sepasukan anggota bomba melibatkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Trong dan BPP Taiping digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.40 pagi.
“Setibanya di lokasi, anggota diarah untuk membantu mengangkat mayat dan menyerahkan ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sabarodzi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan operasi yang diketuai oleh Mohd. Shahidan Hassan tamat sepenuhnya jam 10.58 pagi. – MG Perak.
Artikel Berkaitan: