WCB bukan sekadar cegah kes penyeludupan liar

IPOH – Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Pasukan Risikan Khas (WCB/PSK) bukan sahaja berperanan mencegah kes penyeludupan hidupan liar tetapi turut menjaga khazanah negara termasuk membanteras perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pasukan ini bertanggungjawab untuk menangani jenayah hidupan liar dan melindungi khazanah negara daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain menjaga konserversi Harimau Malaya, kita memastikan keselamatan khazanah alam termasuk sumber asli di laut, darat dan udara selamat terjamin daripada kegiatan pelombong dan pemburu haram.

“Kita semua khazanah alam dan sumber asli bukan sahaja REE serta mencegah segelintir pihak yang melombong emas dan menjalankan aktiviti pembalakan secara haram di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan WCB/PSK Jabatan Kementerian Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA) Bukit Aman di Lapang Sasar Pusat Latihan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah KDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk Sazali Mohamad; Timbalan KDNKA (WCB/PSK), Mohammad Azlin Sadari dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Dalam pada itu, Razarudin berkata setakat ini WCB/PSK melibatkan 78 anggota dengan 50 daripadanya adalah WCB manakala selebihnya adalah PSK.

“Tiada penambahan anggota buat masa ini memandangkan kita mempunyai unit-unit lain di bawah KDNKA seperti Unit Komando, Unit Tindakan Khas (UTK) dan unit lain seperti Senoi Praaq yang akan membantu,” jelasnya. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI