WCIT 2026 platform kolektif pemikir dunia bentuk agenda kemajuan ummah

IPOH – Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 menjadi medan penting bagi usaha kolektif dalam kalangan pemikir, sarjana dan penyelidik Muslim untuk merangka agenda penyelidikan bersama demi memacu kemajuan umat Islam.

Profesor Polisi Inovasi dari Arabian Gulf University, Bahrain, Profesor Dr Odeh Rashid Al-Jayyousi berkata, langkah tersebut amat signifikan bagi memastikan umat Islam terus bergerak maju sebagai komuniti pertengahan atau ummah wassat.

“Saya percaya kita sebagai tamadun Islam mempunyai banyak kekayaan dan khazanah ilmu untuk disumbangkan kepada dunia.

“Pada hemat saya, persidangan ini membentangkan perspektif yang mendalam berhubung perpaduan, kebanggaan, dan tamadun Islam. Ia membawa nilai bahawa setiap individu adalah penting, selain mampu mempromosikan dialog antara tamadun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutup WCIT 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Odeh berkata, persidangan tersebut turut mengetengahkan idea baharu mengenai tadbir urus yang baik, integriti, serta konsep keselamatan yang berasaskan nilai solidariti dan keharmonian.

Mengulas mengenai pengisian sesi yang dijalankan, Odeh menyifatkan topik-topik yang dibincangkan sebagai sangat luas dan relevan kerana merangkumi aspek keselamatan, teknologi, gaya hidup, kemampanan, dan kebersihan.

“Segala idea berkaitan konsep pembangunan mampan dan 17 matlamatnya (SDG) telah disentuh. Malah, pengarusperdanaan nilai serta etika Islam dalam sesi tersebut adalah sesuatu yang sangat mencerahkan dan memberi inspirasi,” jelasnya.

Fakulti Biologi dan Pertanian Universitas Nasional, Dr. Fachruddin M. Mangunjaya menjawab pertanyaan media pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JULAI 2026.

Sementara itu, Dekan Fakulti Biologi dan Pertanian Universitas Nasional Jakarta, Dr Fachruddin Majeri Mangunjaya pula berharap supaya input yang diperoleh daripada persidangan ini dapat diintegrasikan ke dalam institusi pendidikan tinggi.

Beliau melihat penganjuran tersebut sebagai titik mula untuk menterjemah hasil dialog kepada modaliti ilmu bagi membina peradaban masa depan.

“Saya rasa persidangan ini adalah titik permulaannya dan berharap kita boleh mengambil hikmah dan dialog-dialog yang sudah ada ini menjadi suatu pengetahuan dan pembelajaran di universiti.

“Ini merupakan satu modaliti penting untuk peradaban dan tamadun ke depan. Terutama, mesti ada juga pembahasan mengenai tamadun Melayu dan Asia Tenggara pada masa hadapan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dunia Islam perlu berani perbaharui pendekatan tanpa tinggalkan nilai asas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI