10,000 hadir Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Perak

IPOH – Kira-kira 10,000 menghadiri Majlis Riang Ria Aidilfitri syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak yang julung kali disambut secara serentak di Laman Seri Ridzuan, di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan Perak.

Saarani dan isteri turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada rumah anak-anak yatim serta kanak-kanak yang hadir serta meluangkan masa melawat gerai-gerai makanan dan minuman dikendalikan GLC Perak.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air Datuk Jamal Abdillah dan Ara Johari.

Terdahulu, Saarani dalam ucapannya berkata, majlis yang diadakan itu bukan sahaja menghimpunkan warga kerja GLC negeri, tetapi turut meraikan pelanggan dan rakan-rakan strategik GLC termasuk dari luar Perak.

Menurutnya, tersebut cukup istimewa kerana menghimpunkan semua entiti yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan GLC negeri.

10,000 hadir Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 3 MAY 2024.

“Menerusi penganjuran bersama majlis ini, saya berharap ia bukan sahaja dapat memperkukuhkan lagi tali silaturahim dan ukhuwah sesama kita, malah menanamkan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang lebih kuat antara kita.

“Mudah-mudahan, ia menjadi asbab untuk kerjasama yang lebih erat membabitkan semua GLC negeri pada masa hadapan, Insya-ALLAH,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kebanyakan GLC di negeri ini berjaya mencipta satu demi satu kejayaan dari segi peningkatan hasil dan keuntungan, malah mampu melebarkan sayap perniagaan baharu selain mencipta transformasi yang sangat membanggakan.

“Misalnya, Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (Perak SADC) berjaya merekodkan pendapatan hampir RM800 juta dan mampu menyumbang sehingga RM55.3 juta kepada kerajaan negeri, iaitu angka tertinggi  pernah direkodkan.

“Ia melibatkan sama ada sumbangan langsung mahupun melalui pelbagai program pengupayaan rakyat dalam pelbagai bidang.

“Lembaga Air Perak pula bukan sahaja mencipta reputasi membanggakan sebagai antara pengurusan air terbaik di negara ini, malah menerima pengiktirafan demi pengiktirafan atas pelbagai kejayaan yang diraih.

“Terbaharu, LAP menerima Anugerah Zakat Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Wadi Air Bawah Tanah Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak SADC rekod pendapatan RM794.8 juta tahun lalu

Tarif air Perak naik 5 sen setiap meter padu

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI