13 lombong bijih timah masih aktif di Perak

IPOH – Terdapat 13 lombong bijih timah yang masih aktif dan menerima Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) di Perak.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, berdasarkan rekod daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), tiga lombong bijih timah terletak di Daerah Hulu Perak dan Kinta; serta masing-masing dua lombong di Kampar dan Perak Tengah.

Katanya, sementara di Mualim, Larut Matang, dan Kuala Kangsar, masing-masing merekodkan satu lombong bijih timah.

Selain itu, menurut beliau, daripada kesemua lombong tersebut, hanya dua aduan berkaitan alam sekitar direkodkan iaitu masing-masing di Tanjung Tualang, Kinta dan Pengkalan Hulu, Hulu Perak setakat November tahun ini.

“Di Tanjung Tualang, dua aduan direkodkan berkaitan kerja peletupan di lombong bijih timah pada tahun lalu dan tahun ini.

“Sementara di Hulu Perak, satu aduan diterima berkaitan kematian ikan di Sungai Rui dikaitkan dengan aktiviti perlombongan bijih timah pada tahun 2022, serta satu aduan berkaitan Sungai Rui tercemar dikaitkan dengan sisa perlombongan sama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Ujar Kok Lim (PH-Aulong), jumlah aduan yang rendah itu menandakan aktiviti perlombongan bijih timah di Negeri Perak berada pada bawah kawalan yang baik.

Dalam pada itu, katanya susulan aduan yang diterima di Hulu Perak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan tindakan perlu seperti pemeriksaan ke tapak aktiviti perlombongan, mengambil sampel efluen lombong serta sampel air sungai di lokasi bagi menentukan kualiti efluen lombong yang dilepaskan.

“Jabatan juga mengadakan pemantauan kualiti air Sungai Rui, Sungai Kuak, Sungai Endah, Sungai Kijang dan Sungai Kepayang serta efluen lombong bijih timah aktif di Hulu Perak secara berkala melalui kaedah pensampelan air dan analisa makmal.

“Jabatan akan mengeluarkan arahan pemberhentian kerja sementara dan mengarahkan pelombong untuk melaksanakan kerja kerja mitigasi sekiranya aduan yang diterima yang adalah berasas,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

86 lokasi tanah mendap di Daerah Kinta dan Kampar dikenal pasti

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI