PILAH – Seramai 144,894 pekebun kecil di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah diluluskan menerima bantuan menerusi inisiatif BUDI Agrikomoditi sehingga 15 Julai lalu menjadikan kementerian itu telah merekodkan jumlah penerima tertinggi dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu membuktikan usaha mendekati golongan pekebun kecil mula membuahkan hasil namun masih terdapat ramai yang layak menerima bantuan tetapi belum membuat permohonan.
Menurutnya, BUDI Agrikomoditi diwujudkan bagi membantu petani dan pekebun kecil komoditi yang layak mengurangkan sebahagian kos penggunaan diesel untuk aktiviti pertanian dan pengeluaran hasil.
“Sehingga 15 Julai 2026, seramai 144,894 pekebun kecil di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi telah diluluskan menerima BUDI Agrikomoditi.
“Setakat ini, kementerian kita mencatatkan jumlah pekebun kecil yang diluluskan paling tinggi,” katanya ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi di Dataran Melang hari ini.
Bagaimanapun, Noraini berkata, kementerian tidak mahu berpuas hati dengan pencapaian berkenaan kerana masih ramai pekebun kecil yang berkemungkinan layak menerima bantuan tetapi belum mendaftar atau tidak mengetahui kaedah permohonan.
Beliau berkata, atas sebab itu, kementerian mengambil pendekatan turun padang menerusi Program Salam Agrikomoditi bagi memastikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan dapat disampaikan terus kepada kumpulan sasar.
Katanya, kementerian tidak lagi mahu hanya menunggu orang ramai hadir ke pejabat atau agensi kerajaan sebaliknya pegawai dan agensi berkaitan perlu mendekati masyarakat bagi merapatkan jurang penyampaian maklumat.
“Kadang-kadang peluang itu ada, maklumatnya juga tersedia. Namun jarak antara masyarakat dengan agensi menyebabkan peluang tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Sebab itu, kita tidak mahu hanya menunggu masyarakat datang kepada kementerian. Kita yang turun bertemu mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, melalui Program Salam Agrikomoditi, masyarakat berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai kementerian dan agensi bagi mendapatkan penerangan mengenai pelbagai bantuan, latihan, pensijilan, khidmat teknikal serta peluang pembangunan dalam sektor agrikomoditi.
Noraini berkata, program itu turut menyediakan pelbagai pengisian untuk semua lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil yang memerlukan khidmat teknikal, golongan belia yang ingin meneroka peluang latihan dan kerjaya serta usahawan yang mahu mengembangkan perusahaan dan pasaran mereka.
Beliau berkata, pendekatan bersemuka dalam suasana santai itu diharap dapat memberi keyakinan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat secara terus tanpa berdepan birokrasi yang rumit.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan dengan mendapatkan penjelasan daripada pegawai kementerian mengenai kelayakan bantuan serta pelbagai inisiatif yang ditawarkan.
“Saya berharap masyarakat tidak datang hanya untuk melihat-lihat. Pulanglah dengan sekurang-kurangnya satu maklumat baharu, satu peluang atau satu saluran yang boleh membantu meningkatkan pendapatan dan kehidupan keluarga,” katanya.
Selepas Kuala Pilah, Program Salam Agrikomoditi akan diteruskan ke seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha KPK memperkukuh hubungan dengan masyarakat selain memastikan lebih ramai pekebun kecil, usahawan dan belia dapat memanfaatkan pelbagai bantuan serta peluang yang disediakan kerajaan. – MalaysiaGazette


