TANJUNG MALIM – Kampung Menderang, Sungkai, di sini, mengorak langkah memperkasakan ekonomi komuniti apabila sebanyak 16 produk desa dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan penduduk setempat sedang dipromosikan di bawah satu jenama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung Menderang, Mohd Suhaili Abu Kassim berkata, usaha mengumpulkan kesemua produk berkenaan telah mula dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, beliau berhasrat untuk mengetengahkan jenama ‘Best Kampung Menderang’ sebagai usaha menyatukan usahawan kampung yang mana sebelum ini kesemua produk desa diusahakan secara bersendirian.

“Kita mengumpulkan semua pengusaha di bawah satu konsep supaya produk Kampung Menderang lebih dikenali. Dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mereka turut diberi pendedahan mengenai konsep penjenamaan dan kaedah pemasaran termasuk melalui media sosial.
“Alhamdulillah, peningkatan terhadap produk yang dihasilkan sangat ketara apabila promosi dibuat secara lebih tersusun menerusi platform media sosial Facebook dan TikTok Kampung Menderang,” katanya ketika ditemui pada Program Kampung Menderang on Spotlight @ Perak Sejahtera 2030 di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, antara 16 produk desa dan IKS yang diusahakan penduduk kampung termasuk perkhidmatan kumpulan rebana, pusat aktiviti rekreasi, inap desa, kraf tangan, perkhidmatan katering serta penghasilan pelbagai produk makanan seperti kerepek pisang, aiskrim dan sebagainya.

Mohd Suhaili berkata, produk madu kelulut yang dibangunkan menerusi peruntukan RM100,000 di bawah Program Sejati MADANI muncul sebagai produk utama kampung itu dan turut mendapat sambutan hingga ke luar negara.
“Baru-baru ini kita berjaya menjual madu kelulut kepada seorang ahli akademik dari United Kingdom dan juga seorang usahawan dari Jepun. Ini menunjukkan produk desa kita mempunyai potensi untuk dipasarkan lebih luas,” tambahnya.
Ujar beliau, perkembangan ini juga memberi impak positif dalam penjanaan pendapatan tambahan kepada 916 penduduk daripada 260 keluarga di Kampung Menderang yang kebanyakkan bekerja sebagai penoreh getah serta pekebun kecil.

Jelas Mohd Suhaili, hasil daripada pembangunan produk IKS, sebahagian pengusaha kini mampu menjana pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 termasuk perniagaan perusahaan katering dan inap desa.
Pada masa sama, beliau mengakui keberadaan kilang pemasangan kenderaan Proton dalam Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) turut memberi limpahan ekonomi kepada kampung berkenaan.
“Lazimnya pengunjung yang mempunyai sebarang urusan di Proton seperti menghadiri temu duga dan sebagainya, akan memilih untuk menginap di inap desa kami di Kampung Menderang.
“Malah dengan kehadiran pengunjung luar turut membantu pengusaha kecil lain kerana mereka akan membeli produk tempatan ketika berada di kampung ini,” katanya lagi.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, JPKK sedang mengenal pasti lebih banyak produk untuk diketengahkan termasuk membangunkan sektor agropelancongan berasaskan dusun durian serta projek kolam ikan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr. Siti Fariza Mohamad Isa berkata, pembangunan penjenamaan 16 produk IKS tersebut dilaksanakan 102 pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) di bawah kursus Komunikasi Korporat.

Beliau berkata, melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman atau SULAM, para pelajar diberi pendedahan untuk mengaplikasikan pengetahuan komunikasi korporat secara langsung bersama komuniti, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
“Para pelajar dibahagikan kepada 16 kumpulan bagi menyiapkan tugasan dalam menghasilkan bahan penjenamaan, video promosi dan bahan bercetak untuk setiap produk desa yang terdapat di kampung ini.
“Program ini telah berlangsung selama 14 minggu dan hari ini merupakan kemuncaknya apabila semua hasil kerja pelajar dipersembahkan kepada penduduk kampung dan pengusaha terlibat.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah memastikan pembelajaran pelajar tidak terhad di dalam bilik kuliah sebaliknya ia diterjemahkan di lapangan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


