IPOH – Jabatan Imigresen (JIM) Perak menggempur 10 premis di sekitar Ipoh dan Enggor serta menahan 72 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang warga tempatan atas pelbagai kesalahan pada semalam dan hari ini.
Timbalan Pengarahnya, Sharmanrizal Rustam berkata, operasi yang dijalankan pada jam 4 petang hingga 3 pagi itu melibatkan 12 pegawai JIM Perak.
Menurutnya, hasil daripada operasi yang dilaksanakan seramai 133 individu lelaki dan wanita diperiksa di 10 lokasi yang berlainan.
“Daripada 133 individu yang diperiksa, hanya 72 ditahan melibatkan 10 warga Bangladesh, Pakistan (dua), Laos (satu), Vietnam (satu), Indonesia (tujuh), Myanmar (12), Thailand (38) serta seorang lelaki tempatan.
“Bertindak atas aduan dan risikan terdapat satu premis yang menjalankan aktiviti hiburan di Kampung Jawa, Ipoh serta menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) melibatkan 23 wanita warganegara Thailand ditahan dalam Ops Gegar ini.
“Tangkapan itu dilakukan bagi membanteras dan mengekang kemasukan pelancong asing yang menyalahgunakan kemudahan pas lawatan diberikan serta melanggar peraturan-peraturan Imigresen.
“Serbuan turut dijalankan di sembilan premis lain yang menjalankan perniagaan hotel dan spa, kedai makan, pembinaan, perkhidmatan dan pangsapuri termasuk di ladang-ladang sekitar Enggor yang mempunyai penempatan untuk pekerja-pekerja ladang.
“Kesemua PATI berusia antara 18 hingga 50 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi iaitu Ops Gegar, Ops Selera dan Ops Sapu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua warganegara asing itu ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
“Mereka turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga di bawah Akta Pasport 1966.
“Siasatan akan diteruskan ke atas pemilik kediaman dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan PATI berada di dalam premis mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, Sharmanrizal berharap orang ramai dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu JIM membanteras kebanjiran PATI dalam negara ini.
“JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan-majikan atau individu-individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
132 PATI Rohingya lolos dari Depoh Imigresen Sementara Bidor