Suspek bunuh abang, kakak ipar direman seminggu

MANJUNG – Suspek lelaki yang dipercayai membunuh abang dan kakak iparnya akibat perebutan harta menggunakan sabit di kebun sawit dekat Pantai Remis di sini petang semalam direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Mac.

Majistret T Kavita membenarkan permohonan reman tersebut selepas suspek berusia 61 tahun yang lengkap berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung menaiki trak polis kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Suspek terbabit direman bagi membantu siasatan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kebenaran mereman suspek dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Semalam MG Perak melaporkan, pertelingkahan dua beradik berebut harta berakhir tragedi apabila abang dan kakak iparnya maut selepas cedera di bahagian kepala serta muka selepas diserang menggunakan sabit semalam.

Kedua-dua mangsa maut dipercayai diserang menggunakan sabit oleh suspek

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak saudara suspek berhubung kejadian tersebut sekitar jam 3.30 petang.

“Kejadian itu disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan diantara kedua-dua mangsa dan suspek.

“Mayat kedua-dua mangsa yang berusia 74 tahun yang ditemui di dalam kawasan kebun sawit itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Akibat berebut harta, abang, kakak ipar maut

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI