IPOH – Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi tahun 1445H/2024M ditetapkan pada kadar RM8, RM16 dan RM24.
Pegawai menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Wan Maizura Wan Zahari berkata kadar RM8 itu ialah bagi yang menggunakan beras special tempatan (5 peratus hancur dan ke bawah) dan yang seumpama/setara.
“Bagi beras super import, beras perang, beras wangi dan yang seumpama /setara kadar bayaran ialah RM16 manakala beras basmathi, beras pulut dan yang seumpama/setara, kadarnya RM24,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tahun lepas, kadar zakat fitrah bagi ketiga-tiga pilihan penggunaan beras berkenaan ditetapkan masing-masing pada kadar RM7, RM14 dan RM21.
Wan Maizura berkata kaedah bayaran zakat fitrah boleh dilaksanakan melalui amil zakat fitrah sama ada di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai seperti kompleks beli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta yang terpilih.
“Amil zakat fitrah bertemu secara langsung dengan pembayar. Kaedah ini boleh dilaksanakan oleh amil zakat fitrah dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat fitrah terutama warga emas,” katanya.
Pembayar boleh memuat turun penyata bayaran zakat fitrah menerusi sistem portal penyata zakat MAIPK di pautan https://online.maiamp.gov.my/zakatperak/ untuk simpanan dan cetakan.
Penyata bayaran zakat fitrah boleh diperoleh selepas tiga hari transaksi dibuat, katanya.
— BERNAMA