Rondaan halau gajah dipertingkatkan sepanjang musim perayaan – PERHILITAN

IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) meningkatkan rondaan dan pemantauan untuk menghalau gajah liar khususnya di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini terutamanya pada sebelah malam sepanjang musim perayaan.

Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff berkata, pelbagai langkah turut diambil bagi memastikan orang ramai peka terhadap kehadiran gajah liar di laluan berkenaan.

“Kita telah membina viaduct (jejambat) untuk lintasan hidupan liar khususnya gajah serta memasang beberapa papan tanda amaran di kawasan berkenaan.

“Selain itu, beberapa papan tanda amaran memaklumkan kehadiran haiwan liar tersebut ditempatkan di sepanjang jalan berkenaan,” katanya ketika dihubungi MG Perak pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang menggunakan jalan berkenaan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan insiden tidak diingini daripada berlaku.

“Sebagai manusia kena faham, sebenarnya kita yang masuk ke habitat hidupan liar. Jadi, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan kehadiran haiwan liar itu,” ujarnya.

Semalam media melaporkan seekor gajah liar mati dalam nahas membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail dan kereta jenis Perodua Axia di Kilometer (KM) 50 JRTB Gerik-Jeli malam kelmarin.

Sebelum itu, seorang lelaki parah dipijak gajah di Batu 11 dekat Tugu Peringatan di lokasi sama pada 11 April lalu.

Mangsa yang berasal dari Felda Bersia, di sini mengalami patah rusuk, tulang kaki kiri dan pendarahan kepala dalam kejadian yang berlaku pada jam 7 malam itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gajah mati dilanggar SUV

Insiden dipijak gajah: Jangan berhenti di pinggir jalan jika hari sudah gelap – PERHILITAN

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI