PASIR SALAK – Tindakan tegas perlu diambil ke atas MCA sekiranya parti komponen Barisan Nasional (BN) itu enggan berkempen bagi calon pilihn Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, bulan depan.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, MCA seharusnya bersikap terbuka dalam menerima keputusan yang ditetapkan pimpinan BN berhubung penentuan calon yang mewakili kerajaan.
Tegas Tajuddin, meskipun calon berkenaan bukan dari komponen BN ia merupakan strategi yang telah disusun Kerajaan Perpaduan dalam berhadapan PRK bagi memastikan kemenangan di kerusi yang dipertandingkan.
“Kalau DAP boleh menang letak la calon DAP. Kalau UMNO boleh menang, letak calon UMNO. MCA tak nak tolong atau boikot, ambil la tindakan terhadap dia. Bukannya kita nak jaga MCA atau nak jaga DAP, yang kita nak jaga adalah kemenangan.
“Betulkan pemikiran itu, apa juga keputusan mesti berdasarkan kepada matlamat untuk menang, bukan matlamat untuk membodek, bukan strategi untuk (segelintir) individu atau pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di kediaman beliau di
Kampung Gajah, di sini, pada Ahad.
Tajuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA kelmarin, yang menegaskan parti itu tidak akan berkempen di kerusi DUN itu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada BN.
Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, parti itu sudah menyampaikan cadangan supaya calon PRK Kuala Kubu Bharu harus dipilih dalam kalangan BN kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pula dipetik berkata, pihaknya menghormati persetujuan supaya parti penyandang iaitu Pakatan Harapan (PH) diberi keutamaan untuk meletakkan calon pada PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei depan.
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon, manakala 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemilihan calon PRK Kuala Kubu Bharu belum dibincangkan lagi – PM