PEMBUKAAN Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), bakal memacu pertumbuhan ekonomi di utara Perak selain membawa limpahan kepada negeri berhampiran seperti Pulau Pinang dan Kedah.
Malah projek yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu itu, kini di peringkat perancangan awal dengan tumpuan diberikan kepada proses pengambilalihan tanah daripada Sime Darby Plantation Bhd.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong sebelum ini berkata, sebuah jawatankuasa bagi projek tersebut telah ditubuhkan melibatkan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan negeri Perak.
Perdana Menteri pada 16 April lalu turut memaklumkan kerajaan akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan negara terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik berkenaan.
Langkah berkenaan dilihat tepat pada masanya dalam memacu sektor Semikonmduktor di negara ini selain turut memberi manfaat kepada ekonomi di Perak dengan pembukaan KIGIP di daerah Kerian.
Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, krisis kewangan Asia Tenggara 1997 serta liberalisasi pasaran di China, Vietnam dan Kemboja menyebabkan berlakunya perubahan dalam iklim pelaburan.
Menurut beliau, beberapa peneraju dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) bertindak memindahkan sebahagian operasi mereka ke negara berkenaan atas alasan kecekapan kos.
“Untuk memacu ekonomi sektor E&E dipilih antara 12 sub-sektor yang berkeupayaan untuk mengukuhkan sektor pembuatan dan sumbangan kepada negara berpendapatan tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2010.
“Berdasarkan statistik pada Mac 2024 sektor E&E masih menyumbang kepada eksport negara bersama bersama dengan industri minyak sawit dan produk berasaskan petroleum,” katanya.
Tambah beliau, bagaimanapun turun naik pasaran chip turut menyebabkan eksport E&E mengalami penurunan sehingga menyebabkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin mengecut sepanjang 2023.
“Bagaimanapun rantaian industri E&E masih kukuh dan sebab itu beberapa peneraju utama dalam semikonduktor mengekalkan pelaburan mereka seperti Infineon, Micron dan lain-lain.
“Malah ekosistem atau inter-industri E&E memberi impak yang besar kepada pelaburan dan pendapatan negara di mana pada 2023 E&E menyumbang kepada 6.7 peratus kepada KDNK dan sub-sektor E&E menyumbang 47.3 peratus kepada eksport negara,” katanya.
Pembangunan KIGIP perlu sinergi dengan negeri di utara
Mengulas mengenai KIGIP, Ridhuan Bos berkata, integrasi beberapa negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak diperlukan bagi membentuk koridor utara bagi mengubah landskap ekonomi dan pertumbuhan GDP negeri serta negara.
Ujar beliau, kerjasama strategik antara KIGIP dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) serta Pulau Pinang sebagai hub semikonduktor perlu dipertingkatkan.
“Justeru itu, saya menyokong pembangunan KIGIP dan sinergi dengan Pulau Pinang sebagai hub semikonduktor.
“Kesefahaman untuk meningkatkan pendapatan negeri dan sumbangan kepada KDNK negara perlu disemai kepada bakat atau modal insan.
“Kemasukan dan penawaran guna tenaga (pasaran kerja) perlu selaras agar pembangunan dan pertumbuhan industri semikonduktor dinamik,” katanya.
Tambah beliau, penekanan seperti insentif dan bakat bagi mengupayakan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor perlu diperhalusi kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Katanya, persaingan dari negara-negara jiran sangat tinggi, justeru itu kajian berkenaan isentif yang menarik ditawarkan mereka kepada pelabur dalam industri E&Es perlu dijalankan.
“Dalam pembangunan industri dan pertumbuhan firma ada fasa-fasa yang perlu dilalui seperti fasa pertumbuhan, fasa mampan dan fasa dinyahindustri.
“Justeru, tidak salah untuk mengkaji dasar pelaburan dan pembangunan modal manusia di negara jiran atau negara yang hampir sama latar belakang.
“Keupayaan dan kemampuan menterjemah keperluan guna tenaga dan ekosistem membolehkan pertumbuhan industri E&E berterusan dalam jangka panjang,” katanya.
Jelas beliau lagi., penyelarasan dasar kerajaan negeri dan sinergi dengan institusi pendidikan sangat penting dalam memastikan kejayaan KIGIP sebagai hub semikonduktor.
Katanya, keupayaan dan kemampuan menterjemah keperluan guna tenaga dan ekosistem membolehkan pertumbuhan industri E&E berterusan dalam jangka panjang. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga projek mega di Perak bakal lonjak ekonomi negara
Ladang solar RM250 juta rancakkan pembangunan teknologi hijau di Kerian