IPOH – Seramai 42 warga asing ditahan selepas Jabatan Imigresen (JIM) Perak menyerbu empat premis menempatkan warga asing di sekitar daerah Kinta serta Larut Matang dan Selama.
Premis tersebut melibatkan dua buah kedai makan serta masing-masing sebuah pasar raya dan premis perindusrian melalui Ops Belanja, Ops Selera dan Ops Mahir.
Dalam operasi bermula jam 5 petang pada Khamis sehingga 4 pagi pada Jumaat itu, seramai 38 pegawai Imigresen memeriksa 90 warga asing dan 11 orang tempatan.
Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan risikan yang telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Perak di kesemua lokasi berkenaan.
“Melalui operasi tersebut, seramai 42 orang warga asing ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka yang ditahan melibatkan lelaki 30 warga Bangladesh, lima warga Thailand, tiga warga India dan masing-masing dua warga Pakistan dan China.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 18 sehingga 55 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan.
Katanya, mereka turut disiasat mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
“Sehubungan itu, kami berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
“Kami juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi mereka termasuk pendakwaan di mahkamah,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: