Imigresen Perak gempur 9 premis, tahan 38 PATI

IPOH – Seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak menggempur sembilan premis menempatkan warga asing di sekitar daerah Kinta dan Batang Padang.

Premis tersebut melibatkan lima premis makanan, sebuah hotel bajet, dua buah kedai serbaneka serta sebuah premis perindusrian melalui Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Mahir.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi semalam sehingga 2 pagi tadi itu, seramai 20 pegawai Imigresen telah memeriksa 80 warga asing dan 35 orang tempatan.

Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan risikan yang telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Perak di kesemua lokasi berkenaan.

“Melalui operasi tersebut, seramai 38 orang warga asing ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka ini ialah empat wanita warga Indonesia, dua warga Myanmar dan seorang wanita warga Vietnam. Selain itu, 10 lelaki warga Myanmar, lapan warga Bangladesh, enam warga Indonesia, empat warga China dan tiga lelaki warga India ditahan.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 tahun sehingga 55 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan.

Katanya, mereka turut disiasat mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

“Sehubungan itu, kami berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran PATI dalam negara ini.

“Selain itu, kami juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi mereka termasuk pendakwaan di mahkamah,” tegasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sembunyi belakang pintu, cuba larikan diri taktik PATI elak dicekup Imigresen

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI