KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat susulan beberapa insiden jenayah yang menyasarkan balai polis dan tempat awam sejak kebekalangan ini.
Naib Presiden Parti Gerakan, Chek Kwong Weng berkata, kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Baharu awal pagi Jumaat lalu yang mengorbankan dua nyawa anggota polis menyebabkan rakyat gusar dengan tahap keselamatan di dalam negara ketika ini.
Ia ditambah lagi dengan serangan terbaharu di sebuah balai polis di Pulau Pinang kelmarin apabila ada orang awam yang cuba merampas senjata api selain kes tembakan hingga mencederakan seorang pengawal peribadi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lepas.
“KLIA ini lambang kepada sesebuah negara. Ia juga sangat penting kepada negara. Sama seperti balai polis yang merupakan satu tempat mereka yang menjaga keselamatan negara.
“Jika kedua-dua tempat ini boleh berlaku isu keselamatan ia akan menyebabkan rakyat berasa bimbang.
“Selain itu, kita kena lihat juga kepada isu ini terhadap pelancong-pelancong asing. Jika mereka tahu, adakah mereka rasa bimbang atau datang ke negara ini sebab suka melancong sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Kwong Weng lagi, isu tersebut juga akan memberi implikasi besar kepada para pelabur asing yang mungkin menarik diri kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
“Lagi pun, bagi golongan tua mereka tidak ingin melihat cucu cicit mereka hadapi masalah keselamatan ini, mereka bimbang. Kita berharap kerajaan madani ini ada jalan penyelesaian terhadap isu keselamatan terutamanya di peringkat KDN,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan:
‘Dua tahun di Ulu Tiram, pulang ke sini jasad terbujur kaku’ – bapa Ahmad Azza Fahmi
Serangan balai polis: Bapa Azza Fahmi reda, tidak halang anak lain jadi polis