‘Dua tahun di Ulu Tiram, pulang ke sini jasad terbujur kaku’ – bapa Ahmad Azza Fahmi

TAPAH – Ketenangan jiwa bapa bagai direntap tatkala jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar tiba di kediaman ahli keluarganya di Kampung Poh, Bidor, dekat sini, pada Sabtu.

Azhar Khaiden, 54, berkata, ia berbeza apabila dia tidak meninitiskan air mata sepanjang masa berada di Johor Bahru bagi menyelesaikan urusan jenazah anak keempat daripada lapan itu.

“Apabila saat hilang daripada pandangan (selepas dikebumikan), jadi kesedihan itu mula terasa. Orang di luar lihat saya kuat, tetapi dalam diri saya menangis tengah malam.

“Maklum sahajalah 20 tahun pertama dengan saya (berada di Bidor), dua tahun di Ulu Tiram, baliknya pula dia dengan jasad terbujur kaku.

“Sedangkan kita jika bela anak kucing sekali pun, anak kucing mati pun kita sedih, inikan pula anak sendiri,” katanya.

Azhar berkata demikian ketika menzahirkan perasaanya sebaik sahaja selesai pengkebumian anaknya, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor, pada Sabtu.

Ahmad Azza Fahmi, 22, merupakan salah seorang daripada dua anggota polis yang terbunuh dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 7.20 malam mengikut istiadat pengebumian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Klah, Sungkai itu berkata, sepanjang perjalanannya dari Johor Bahru ke Perak meruntun hati apabila tidak mampu menahan tangisan apabila memandang keranda anaknya.

“Tadi, apabila saya imamkan solat jenazah, hati saya tidak boleh tahan sebab tersentuh. Saya sepatutnya bacakan tahlil, tetapi hati tidak cukup kuat jadi saya serahkan kepada imam. Jadi itulah yang saya alami, takdir yang berlaku pada saya,” ujarnya.

 Ketenangan jiwa bapa bagai direntap tatkala jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar tiba di kediaman ahli keluarganya di Kampung Poh, Bidor, dekat sini, pada Sabtu.Azhar Khaiden
Solat jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang diImamkan oleh bapanya Azhar Khaiden, 54, di kediaman keluarganya di Kampung Poh Tambahan, Bidor.
Turut sama, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Foto ABDULLAH YUSOF, 18 MAY 2024.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, dia juga telah menyuarakan hasrat agar abang Allahyarham, Ahmad Azza Fitri, 24, yang bertugas di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah dapat dipindahkan bertugas ke Perak.

Ujarnya, hasrat itu disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika berada di Johor Bharu.

“Anak lelaki kami hanya ada dua orang, seorang sudah pergi (meninggal dunia) dan seorang lagi pula jauh. Jadi saya berharap agar Ahmad Azza Fitri boleh dipindahkan dekat dengan ibunya (di Perak) untuk pulihkan semangatnya,” jelasnya lagi.

 Ketenangan jiwa bapa bagai direntap tatkala jenazah Allahyarham johor bahru Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar tiba di kediaman ahli keluarganya di Kampung Poh, Bidor, dekat sini, pada Sabtu.Azhar Khaiden
Bacaan doa setelah jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 MAY 2024.

Pada Jumaat, negara digemparkan dengan serangan berdarah oleh seorang lelaki bertopeng sehingga mengorbankan dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram, pada jam 2.45 pagi.

Anggota polis yang terkorban adalah Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.

Sementara, Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan sama dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menjalankan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pada masa sama, polis mengesahkan suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam kejadian berkenaan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Serangan balai polis: Jenazah Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI