IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyokong sepenuhnya pelaksanaan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 Wilayah Utara anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana dapat membuka peluang dan ruang kepada usahawan untuk meningkatkan jualan serta menambah baik perniagaan mereka, malah para pengunjung juga akan lebih mengenali produk-produk SDSI yang berkualiti.
“Program sebegini juga adalah manifestasi usaha kerajaan menyokong usahawan perusahaan mikro, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi setempat.
“Program Showcase SDSI 2.0 ini membuka ruang kepada usahawan mempamerkan produk, mendapat pendedahan dan khidmat nasihat melalui reruai agensi kerajaan serta institusi perbankan.
“Saya menyeru semua usahawan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini bagi mendapatkan maklumat dan pertimbangan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 Wilayah Utara dan Jelajah Hari Usahawan, Agro dan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP, Datuk Zamri Salleh.
Menurut Saarani, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa program keusahawanan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan sosioekonomi Negeri Perak.
Antaranya adalah program ekonomi digital, pendigitalan usahawan, perluasan pasaran, Geran Usahawan Perak (GeRAK) dan pembangunan industri halal.
“Ini juga adalah langkah kerajaan dalam membantu ekonomi masyarakat desa selaras dengan dasar pembangunan luar bandar bersepadu.
“Kita menggalakkan penduduk desa menjana sumber ekonomi yang memenuhi keperluan industri serta berupaya menembusi pasaran lebih besar,”ujarnya. – MG Perak
[…] SDSI 2.0 buka peluang usahawan tingkatkan jualan – Saarani […]