TANJUNG MALIM – Seramai 1,800 murid yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dari 31 sekolah di Perak terpilih bag menyertai program empowerNCER Akademik.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, ia melibatkan sembilan daerah termasuk Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, dan Perak Tengah.
Menurutnya, daripada semua murid terpilih berkenaan, 600 merupakan murid Orang Asli dari 17 sekolah di tujuh daerah iaitu Muallim, Batang Padang, Kampar, Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Kinta
“EmpowerNCER Akademik, dapat mewujudkan akses sama rata terhadap pendidikan yang berkualiti. Ia juga memberi peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan kecekapan demi mengurangkan kadar pengganguran rakyat Perak .
“Selain memberi impak kepada murid, ia dapat memberi peluang perniagaan untuk meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan dalam pelbagai bidang bagi pelaksanaan dan keperluan program,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Ujar Norkhalid, program berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama UPSI bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu sebagai usaha mahu memberi impak kepada prestasi pendidikan murid-murid Orang Asli.
Kata beliau lagi, ia turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Dalam pada itu Norkhalid berkata, program berkenaan juga memberi kesedaran kesihatan fizikal dan mental dengan menerapkan amalan gaya hidup sihat melalui pelaksanaan program guru, ibu bapa dan murid.
“NCIA juga memberi dana kepada sekolah bagi melaksanakan program empowerNCER Akademik untuk murid, ibu bapa dan guru. Ia akan digunakan untuk tujuan program komuniti, ceramah dan makanan murid,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mahasiswa UPSI bersih masjid, cat gelanggang awam di Selangor