JKDM serbu gudang tayar simpan motosikal, arak RM1.35 juta 

IPOH – Taktik penyeludup menggunakan premis gudang tayar di Nibong Tebal, Pulau Pinang sebagai lokasi penyimpanan motosikal dan minuman keras bernilai RM1.35 juta gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, 13 Mei lalu.

Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, dalam serbuan sekitar jam 3.30 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu menemui pelbagai jenis model motosikal berjenama SkyTeam bernilai lebih RM1 juta yang disyaki barang belum lulus kastam.

Selain itu, beliau berkata, menerusi hasil pemeriksaan di lokasi sama, pihaknya turut merampas pelbagai jenis minuman keras dengan kuantiti berjumlah 1,325 liter bernilai RM356,383.50.

“Hasil risikan mendapati motosikal yang diimport dari negara China dan masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang itu gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit import dan sebagainya.

“Ini kali pertama kita serbu (gudang) dan mendapati, motosikal tersebut telah disimpan lebih tiga tahun di premis itu.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad menunjukkan rampasan minuman keras dianggarkan bernilai RM356,383.50 yang cuba diseludup ke negara ini dalam serbuan di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 13 Mei lalu pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 MEI 2024.

“Susulan serbuan tersebut pemilik gudang warga tempatan berusia 30 tahun telah ditahan.

“Bagaimanapun lelaki terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil namun akan dipanggil semula untuk membantu siasatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Kastam Ipoh, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar memaklumkan kes melibatkan motosikal itu akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(v) (aa).

Katanya, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi kes melibatkan minuman keras pelbagai jenama, kes disiasat di bawah Seksyen 32 (1) Akta Eksais 1976 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 79 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Guna label sayur seludup daging anak babi sejuk beku

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI