Tanah Rizab Melayu: Bekas Exco Perak antara akan dipanggil – SPRM

SERI ISKANDAR – Beberapa individu termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri Perak akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes status 650 hektar lot Tanah Rizab Melayu, 12 tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan juga akan menjurus kepada semakan terhadap minit-minit mesyuarat berkaitan hal berkenaan ketika itu.

“Saksi-saksi lain yang terlibat (dalam kes ini) akan dipanggil, terutama sekali mereka (pegawai) yang ketika itu bertugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Selain itu, siasatan juga termasuk melibatkan kepada minit-minit mesyuarat yang berkaitan yang telah dibawa ke kelulusan Exco Kerajaan Negeri (ketika itu).

“Jadi Exco-exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Teknologi Petronas (UTP), dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Naib Canselor UTP, Datuk Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, didakwa telah menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak dengan memperdaya lembaga tersebut untuk mempercayai bahawa tanah di Mukim Sitiawan adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak.

Tindakan tersebut dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di Ipoh pada 4 Januari 2012.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pendakwaan terhadap seorang pengarah urusan di sebuah syarikat hartanah berhubung kes sama akan dibuat dalam masa terdekat, Azam memberitahu, tiada kepastian berhubung perkara itu.

“Seseorang itu reman apabila telah tamat tempoh yang dibenarkan oleh majistret dan siasatan masih diteruskan. Ia bukan bermakna siasatan telah selesai.

“Walau bagaimanapun, ia merupakan siasatan peringkat kedua selepas kita tuduh seorang pegawai PTG sebelum ini,” katanya lagi.

Media juga sebelum ini melaporkan, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan susulan pertuduhan yang terhadap bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak tersebut. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bekas Timbalan Pendaftar PTG Perak mengaku tak bersalah menipu status Tanah Rizab Melayu

Pengarah syarikat disyaki ubah status tanah rizab Melayu ditahan SPRM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI