MANJUNG – Pendigitalan perkhidmatan kerajaan yang memudahkan akses rakyat menjadi bukti kemajuan pelaksanaan pelan itu di bawah sasaran Sejahtera Politik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan Sistem e-Perak membantu Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam merancang program pembangunan di kawasan luar bandar.
Katanya, aplikasi ini dibangunkan untuk mendokumentasikan profil 828 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan mengambil kira profil penduduk di dalam kawasan penempatan tersebut di negeri Perak.
Tambah Saarani, aplikasi Talent Perak pula membantu pencari kerja khususnya anak Perak mendapatkan peluang pekerjaan bersesuai dengan kemahiran yang diperlukan majikan di negeri Perak.
“Tak cukup dengan itu , kita ada portal dan aplikasi Talent Perak .
“Bermula 15 Jun 2023 sehingga 30 Mac 2024, aplikasi Talent Perak berjaya mengumpul seramai 7,617 orang pengguna, 164 buah majikan dan menawarkan sebanyak 2,250 peluang pekerjaan kepada pengguna,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, dekat sini, pada Isnin.
Menurut beliau, aplikasi MyPATIL yang dilancarkan bagi menyokong ke arah Bandar Pintar Manjung 2030 telah menggantikan kaedah lesen konvensional dalam bentuk kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen di daerah Manjung.
“Pemasangan peranti pintar myPATIL di premis-premis perniagaan telah bermula pada tahun 2021 melibatkan 7,000 premis perniagaan berlesen di daerah Manjung.
“Lesen ini memberi pelbagai mantaat kepada para peniaga dan juga PBT khususnya dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan perlesenan yang turut menyokong ke arah Bandar Pintar Manjung 2030,”katanya.
Selain itu, empat program dilaksanakan bagi memudahkan cara dan mempercepatkan pendigitalan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Ia melibatkan program S.M.A.R.T Niaga@Perak, Clicks@Perak, SME D-BASE, dan Latihan Pendigitalan Usahawan serta usaha ini sedang giat dilaksanakan selari dengan agenda Ekonomi Digital Perak Sejahtera 2030. – MG Perak.
Artikel Berkaitan:
Pelan Perak Sejahtera 2030: Kerajaan Negeri dalam landasan betul