Suami pukul, tikam isteri hingga mati ditahan bantu siasatan

IPOH – Polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul dan menikam isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Simee, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 56 tahun itu, ditahan sekitar jam 10 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala sekitar jam 9.26 pagi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 48 tahun ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan rumahnya.

“Terdapat tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di bahagian kepala mangsa. Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh pada jam 9 pagi esok.

“Sehubungan itu, kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan S Dasarathan di talian 012-564 4484 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan dan tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” jelasnya.

Terdahulu, MG Perak melaporkan, difahamkan sebelum kejadian wanita berusia 48 tahun itu baru pulang bersarapan bersama suaminya yang berusia 56 tahun sekitar jam 8 pagi.

Apabila tiba di rumah, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suami sehingga lelaki itu dipercayai bertindak memukul mangsa di bahagian kepala dan menikamnya beberapa kali.

Kejadian itu, dipercayai turut disaksikan anak perempuan mereka yang baru berusia 12 tahun. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isteri maut dipukul, ditikam suami depan anak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI