PRU16: Tidak timbul isu pertindihan kerusi BN-PH

KUALA KANGSAR – Isu pertindihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak timbul memandangkan perkara tersebut bakal dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun perjalanan menuju PRU16 masih panjang namun perancangan sudah diatur bagi memastikan tidak timbul permasalahan di saat akhir terutamanya berhubung pembahagian kerusi dalam kalangan Kerajaan Perpaduan.

“Kita (BN) masih mengekalkan pendirian bahawa walaupun PRU16 masih lama lagi, tetapi kita telah bertekad untuk terus menggunakan lambang BN untuk calon-calon kita, itu maksud sebenar yang tersurat dan yang tersirat.

“Semua parti politik telah merancang lebih awal dan jika rancangan itu dibuat di saat akhir maka situasi politik akan berubah.

“Maka bukan sahaja UMNO dan BN, hampir pasti parti lain juga sudah mula merancang daripada sekarang sekurang-kurangnya untuk mengelak pertindihan kerusi dan kerjasama dalam kempen dapat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Datuk Azian Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir ke Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JULAI 2024.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JULAI 2024.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kerjasama BN-PH semalam.

Dalam pada itu, berhubung pendapat sesetengah pihak yang menyatakan MCA dan MIC tidak mempunyai hubungan baik dalam parti komponen Kerajaan Peraduan, ia adalah tidak benar.

“Saya tidak fikir pendapat itu betul (MIC dan MCA tidak rapat dengan Kerajaan Perpaduan) sebab dalam banyak kali mesyuarat parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan, mereka diwakili oleh Presiden, Timbalan Presiden ataupun Setiausaha Agung dan mereka sentiasa memberikan pandangan dalam mesyuarat tertinggi dalam pelbagai perkara.

“Justeru, tidak ada sebarang masalah yang diperlihat dalam memberikan pandangan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam pekembangan lain, Ahmad Zahid bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menggesa kerajaan supaya meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat dan menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu serta maklumat yang tepat.

“Saranan ini sangat benar dan kita tahu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah badan penyelaras di peringkat Persekutuan untuk Hal Ehwal Dakwah dan Pembangunan Agama Islam tetapi kuasa pentadbiran agama adalah di bawah kuasa Tuanku-Tuanku dan kuasa kerajaan negeri.

“Maka sudah tentu titah Tuanku ini boleh dibawa ke Mesyuarat Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang kini dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan tentunya perkara ini dapat diteliti dan dilaksanakan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bukan mudah ambil UMNO ketika tidak bergelar kerajaan – Ahmad Zahid

UMNO tolak kerjasama dengan Pas selagi Hadi Presiden

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI