Kerajaan komited kurangkan pinjaman tahunan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM93 bilion pada tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim,

Perdana Menteri berkata, sasaran itu adalah hasil daripada langkah kerajaan mengurangkan defisit kepada 4.3 peratus tahun ini berbanding 5 peratus dan 5.6 peratus pada 2023 dan 2022.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, pada 2021 dan 2022, hutang negara adalah sebanyak RM100 bilion namun dikurangkan secara berperingkat pada tahun berikutnya.

“Sebab itu saya nyatakan turunkan pinjaman pada 2023 kepada RM93 bilion dan 2024 dikurangkan lagi kepada RM86 bilion.

“Daripada RM100 bilion pada pentadbiran lalu, kita kurangkan kepada RM86 bilion, tetapi (angka) ini tidak boleh dikurangkan secara mendadak kerana kita masih memerlukan agenda pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkatkan kecekapan bagi memastikan kerajaan dapat memperoleh hasil yang lebih baik tahun ini.

Perdana Menteri berkata, agensi di bawah Kementerian Kewangan itu telah memainkan peranan yang besar dalam memastikan kelangsungan kewangan Malaysia pada masa hadapan.

Menurut beliau, Malaysia berpotensi terjerumus ke dalam masalah kewangan yang besar kerana asas percukaian negara adalah sangat kecil dan sekiranya hasil yang dikutip juga rendah.

Justeru tegasnya, langkah baharu perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa menerusi peningkatan kecekapan dengan pelbagai usaha seperti pendigitalan.

“Saya harap LHDN dapat hasil bertambah dari unjuran dan setiap sen dan ringgit dibayar tetapi tidak membebankan rakyat dan syarikat lebih dari had yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

‘Falsafah saya, pendidikan harus percuma, namun….’ – Anwar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI