IPOH – Seorang wanita maut digilis sebuah kereta selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di bahu jalan sebelum hilang kawalan di Lebuhraya Ipoh-Lumut, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Gajah.
Menurut Zainal Abidin, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Ipoh menuju ke Batu Gajah.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa terlanggar lubang di bahu kiri jalan kemudian hilang kawalan dan melanggar fender kiri hadapan sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 40 tahun di laluan sama.
“Akibat pelanggaran tersebut mangsa terjatuh di atas jalan dan dipercayai digilis kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Batu Gajah bagi mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan.
“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian paha kanan dan kecederaan dalaman manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.
Zainal Abidin turut meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 013-6713177. -MG Perak
Artikel Berkaitan: