IPOH – Seorang pengurus syarikat penternakan dihukum denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat atas pertuduhan pilihan menipu urus niaga kambing, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Shaharani Firdauz Abd Ghani, 38, membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.
Mengikut pertuduhan pilihan, Shaharani didakwa secara tidak jujur memperdayakan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak (JPVP) berhubung dokumen invois tuntutan Perkhidmatan Membekal dan Menghantar Ternakan Kambing Tenusu, Kambing Pedaging dan Bebiri bersertifikasi Diimport untuk Projek Subsektor Ternakan Daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020 JPVP.
Oleh demikian, tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa untuk meluluskan bayaran bagi tuntutan terbabit, yang mana mangsa tidak akan meluluskan bayaran bagi tuntutan itu sekiranya tidak diperdaya.
Shaharani didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Jalan Sultan Azlan Shah (U), di sini, pada 14 Disember 2021.
Oleh yang demikian, lelaki itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar denda RM10,000 atau penjara sebulan, jika gagal bayar.
Berdasarkan fakta kes, Shaharani Firdauz menghantar satu invois tuntutan berjumlah RM836,798 kepada JPVP bagi perkhidmatan membekal kambing ternakan kepada empat padang ragut.
Padang ragut terlibat adalah di Air Kuning, Kampung Toh Paduka Raja, Pendiat dan Kampung Baru Bota Kanan pada 14 Disember 2021.
JPVP telah memasukkan wang berjumlah seperti dituntut ke dalam akaun bank syarikat tertuduh pada keesokkannya.
Namun, hasil siasatan mendapati lelaki itu membekalkan kambing dibeli daripada penternak tempatan di Manjung, Batang Kali serta Kelantan dan bukan bersertifikasi diimport. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beli komputer di kedai isteri, bekas pengurus besar dihadap ke mahkamah