IPOH – Kontinjen Perak berada pada kedudukan tujuh terbaik dengan pungutan 26 pingat emas pada hari ke-12 temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.
Setakat jam 6 petang, kontinjen negeri turut meraih jumlah pungutan 33 perak pingat perak dan 53 gangsa.
Pingat emas diraih melalui sukan tenis, lawan pedang, dan bola tampar pada Jumaat.
Pasukan Tenis Perak yang diwakili Mitsuki Leong Wei Kang dan Shihomi Leong Li Xuan berjaya menundukkan pasangan tuan rumah melalui acara beregu campuran di Kompleks Persatuan Tenis Sarawak (SLTA), Kuching.
Sarawak yang diwakili Sheing Wee Hii dan Lydia Tng En Liong meraih pingat perak selepas tewas 2-0 dengan skuad Belang Tarung Tiga Warna.
Pasukan lawan pedang Perak juga mempamerkan aksi terbaik melalui acara sabre berpasukan lelaki pada saingan yang diadakan di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri.
Kejayaan Perak menewaskan pasukan Johor dengan jumlah markah 45-33 membawa kepada pungutan emas buat kontinjen negeri.
Di samping itu, Pasukan Bola Tampar Pantai Perak juga memperoleh emas melalui perebutan pingat acara berpasukan pantai lelaki di Union Yes Retreat, Lundu.
Pasukan Wilayah Persekutuan terpaksa akur dengan kekuatan skuad Perak selepas memperoleh kutipan markah 0-2. MG Perak
Artikel Berkaitan: