Mangsa banjir di Perak berkurang, tiga PPS kekal dibuka pagi ini

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak berkurang lagi pagi ini kepada 173 orang daripada 49 keluarga berbanding 213 orang (56 keluarga) malam tadi dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan daerah Muallim serta Larut, Matang dan Selama.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan di Muallim seramai 100 mangsa daripada 27 keluarga dari Kampung Pasir masih ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kampung Pasir manakala 47 orang (14 keluarga) yang tinggal di Kampung Slim Village pula berada di PPS Masjid Jamek Slim Village.

Seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Tebuk turut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk serta Kuala Kangsar mengalami hujan pagi ini.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli kekal dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.

“Laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang turut dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan berkenaan,” menurut JKR.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI