Lebih 4,000 rumah tidak terjual di Perak bukan trend membimbangkan

IPOH – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak menyifatkan isu lebih 4,000 hartanah perumahan tidak terjual di negeri ini bukan satu trend yang membimbangkan.

Pengerusinya, Ir Loh Ban Ho berkata, ini kerana jawatankuasa khas yang dibentuk bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) mendapati, kebanyakan hartanah terbabit berada dalam julat harga RM300,000 dan ke bawah.

Justeru itu beliau berkata, kebanyakkan hartanah berkenaan mudah diserap semula dalam pasaran semasa.

“Berdasarkan laporan terkini, angka hartanah tidak terjual ini sebenarnya telahpun berkurang daripada 4,588 unit pada suku pertama kepada 4,161 unit di suku kedua.

“Perkembangan ini menunjukkan, perkara yang berlaku bukanlah masalah besar dalam pasaran hartanah di negeri ini,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Perak di sini pada Jumaat.

Pengerusi Rehda Perak, Ir Loh Ban Ho ketika sidang media Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2024 di Pejabat Sekretariat REHDA Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 SEPTEMBER 2024.

Mapex Perak yang berlangsung selama tiga hari pada 4 hingga 6 Oktober depan di Ipoh Parade bakal mempamerkan 5,000 hartanah perumahan dengan nilai lebih RM3 bilion.

Tambah beliau majoriti rumah yang tidak terjual di Perak tertumpu di tiga daerah iaitu Kinta, Manjung dan Teluk Intan.

Jelasnya lagi pasaran hartanah di negeri ini terutama Ipoh masih mampu dimiliki kerana berada dibawah paras RM500,000 berbanding Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Yang menjadi kekangan sebenar kenapa rumah tidak terjual adalah apabila ramai pembeli berdepan masalah untuk mendapatkan pinjaman bank.

“Menerusi ekspo ini, banyak hartanah berharga dibawah RM300,000 ditawarkan dan saya yakin unit-unit ini boleh dipromosikan dan mampu dimiliki orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menyatakan Perak mempunyai bilangan hartanah tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 4,161 unit diikuti Johor (3,219 unit), Kuala Lumpur (3,051 unit), Pulau Pinang (2,400 unit) dan Selangor (2,328 unit). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Majoriti rumah tidak terjual di Perak berharga RM200,000 ke atas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI