Keracunan makanan SK Chepor: Pengusaha kantin bakal didakwa di mahkamah

IPOH – Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat susulan kes keracunan makanan melibatkan 134 murid termasuk seorang guru dan kakitangan sokongan yang berlaku pada 25 September lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, pengusaha kantin terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah menamatkan kontrak pengusaha kantin yang beroperasi sejak 2022 itu serta merta walaupun kontrak mereka sepatutnya berakhir pada 30 November depan.

“Hari ini kita turun membuat tinjauan di sekolah ini dan menerusi mesyuarat yang diadakan di antara pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta serta Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah mencapai dua keputusan.

“Pertama, kita akan menamatkan tender terhadap pengusaha kantin kerana sudah memperoleh cukup bukti berkaitan kes tersebut.

“Kedua, kita akan mendakwa pengusaha kantin terbabit diambil di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Jadi, kita sudah cukup kes untuk buktikan di mahkamah. Justeru, kita harap kes ini akan menjadi pengajaran kepada semua.

Keracunan makanan SK Chepor: Pengusaha kantin bakal didakwa di mahkamah
Keadaan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor yang ditutup susulan kes 101 orang murid SK Chepor yang mengalami keracunan makanan, pada 25 September lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 OKTOBER 2024.

“Saya juga ingin meminta maaf secara terbuka kepada ibu bapa atas kejadian tersebut,“ katanya kepada media selepas melakukan tinjauan ke kantin sekolah berkenaan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 134 orang murid melibatkan 61 murid perempuan dan 71 murid lelaki termasuk seorang guru dan seorang kakitangan sokongan mengalami keracunan makanan selepas dipercayai minuman bancuhan perasa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin sekolah tersebut.

Seramai 93 murid telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta yang berhampiran dengan kawasan rumah dan mereka yang mengalami simptom-simptom ringan telah berehat di rumah masing-masing.

Dua murid turut dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan namun telah dibenarkan keluar.

Kesemua murid dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil serta telah bersekolah seperti biasa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Keracunan makanan: Kantin SK Chepor ditutup 14 hari

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI