Perak dijangka tubuh jawatankuasa khas pantau, pulih akidah pengikut GISBH

GOPENG – Kerajaan negeri Perak dijangka akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bertujuan untuk memantau dan memulihkan akidah pengikut Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan pada persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh dan tidak boleh dilaksanakan secara satu demi satu kes (case by case).

“Ini adalah kes yang terlebih dahulu al-Arqam, Rufaqa tapi kita akan bawa ke dalam mesyuarat majlis perunding dan dalam majlis persidangan agama Islam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian  Terra Mineral Lab Sdn Bhd dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (CoE) di kawasan Perindustrian Gopeng, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Anuar Zainal Abidin.

Dalam perkembangan sama, Saarani memaklumkan akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin depan.

Katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menyiapkan laporan penuh berkaitan kepercayaan dan ajaran dalam syarikat berkenaan.

“InsyaALLAH minggu hadapan saya akan persembahkan kepada tuanku laporan yang telah diberikan oleh JAIPk,” katanya.

Semalam, Johor memaklumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan GISBH dalam usaha memulihkan akidah mereka yang terlibat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawantankuasa tersebut sudah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ke-275.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa ini berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah mereka yang terlibat dengan GISBH di negeri Johor. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isu GISBH: Saarani akan menghadap Sultan Perak dalam masa terdekat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI