Sukan bentuk identiti bangsa kuat dan bersatu – Saarani

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menyifatkan sukan sebagai komponen penting membentuk identiti bangsa yang kuat dan bersatu dalam perjalanan sesebuah negara mencapai kemajuan.

Saarani berkata, ini kerana sukan merupakan jambatan yang menghubungkan rakyat, mencipta rasa bangga dan cinta kepada tanah air selain menjadi pemangkin perpaduan nasional menyatukan rakyat tanpa mengira perbezaan.

“Berabad lamanya, sukan menjadi lambang dalam usaha menyemai nilai-nilai perpaduan. Misalnya di padang, tiada bezanya bangsa, agama, atau latar belakang yang ada hanyalah semangat untuk berusaha, bekerjasama, dan saling menyokong.

“Sukan mengajar kita bahawa kejayaan bukan hasil kerja seorang individu, tetapi kejayaan satu pasukan, satu masyarakat, dan satu negara,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menurut Saarani dikebanyakkan negara, sukan bukan sahaja memberi kesan kepada kejayaan fizikal dan mental individu, tetapi juga mengangkat maruah negara, menyatukan masyarakat, dan meningkatkan imej negara dalam membina hubungan di peringkat antarabangsa.

Malah beliau menambah, sukan dianggap pengikat semangat kecintaan kepada negara dalam kalangan rakyatnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berswafoto bersama pengunjung pada Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 OKTOBER 2024.

“Maka sempena Hari Sukan Negara kali ini, saya mengajak kita semua untuk menyerap semangat ini kerana pada hari ini, kita berada di sini bukan hanya untuk meraikan kejayaan, tetapi juga untuk mengingatkan diri kita tentang pentingnya terus membudayakan sukan dalam kehidupan seharian.

“Kerana dalam setiap gerakan, setiap semangat yang ditunjukkan, dan setiap peluh yang ditumpahkan, kita sedang membina sebuah negara yang lebih kuat, lebih berpadu, dan lebih sihat,” katanya.

Saarani turut berkata, apa jua cabaran yang dihadapi, sukan sentiasa menjadi cermin kepada ketabahan, semangat juang, dan keyakinan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Kita bukan hanya bersaing di gelanggang, tetapi juga sedang membina asas masa depan yang lebih baik untuk generasi kita dan yang akan dating,” katanya.

Bertemakan #cergasbersama dianggarkan hampir 8,000 penduduk negeri ini hadir pada sambutan Hari Sukan Negera 2024 Peringkat Negeri Perak pada Sabtu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lenggong destinasi baharu sukan permotoran lasak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI