LENGGONG – Penganjuran Rimba Raid Lenggong 2024 menjadikan Lenggong bukan hanya dikenali Tapak Warisan Dunia UNESCO tetapi sebagai destinasi baharu sukan permotoran lasak yang berprestij.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keindahan dan keunikan bumi Lenggong yang saban tahun menjadi tumpuan dunia kini sekali lagi mencipta sejarah apabila dipilih menjadi lokasi edisi kesembilan Rimba Raid.
Menurut beliau dengan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Lenggong kini diangkat sebagai pentas sukan bertaraf dunia, membuka peluang lebih luas untuk memperkenalkan pelbagai tarikan luar biasa yang terdapat di sini.
“Saya dimaklumkan, lapan penganjuran tahunan Rimba Raid sebelum ini diadakan di Kuala Tahan, Pahang, tetapi penganjur memilih Lenggong sebagai lokasi bagi edisi kesembilan pada tahun 2024 ini.
“Oleh itu, seluruh rakyat Perak, khususnya kami di Lenggong ini, mengalu-alukan kehadiran kesemua 270 peserta dari 25 negara yang terlibat dalam Rimba Raid Lenggong 2024 dan ini menunjukkan betapa Lenggong semakin mendapat tempat di hati peminat sukan permotoran lasak dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Grand Dinner Rimba Raid Lenggong 2024 di Resort Tasik Raban, di sini, pada Khamis malam.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Tambah Saarani dengan trek sepanjang 300 kilometer Rimba Raid Lenggong 2024 membawa para pelumba mengharungi pelbagai bentuk muka bumi yang menakjubkan.
Katanya, para pelumba akan melalui hutan purba berusia 130 juta tahun, melalui jalan balak yang berbatu dan merentasi sungai, bukit, serta gunung.
“Laluan ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental para pelumba, tetapi juga menyajikan pemandangan yang memukau, memberikan pengalaman yang luar biasa kepada semua yang terlibat.
“Saya juga dimaklumkan bahawa pada tahun ini, penyertaan pelumba tempatan juga meningkat kepada 167 orang, melebihi peserta antarabangsa.
“Ini adalah perkembangan yang sangat positif dan membuktikan bahawa minat terhadap sukan permotoran lasak semakin berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di negeri Perak,” katanya.
Rimba Raid Lenggong 2024 peluang usahawan tempatan tonjol produk
Mengulas lanjut Saarani berkata, penganjuran Rimba Raid di Lenggong juga bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 yang menjanjikan pelbagai keunikan serta tarikan pelancongan.
Beliau berkata, misalnya di Di Lembah Lenggong, tersimpan penemuan arkeologi seperti rangka Perak Man berusia lebih 11,000 tahun, menjadikannya antara tapak arkeologi terpenting di Asia Tenggara.
Katanya lagi, Tasik Raban yang menjadi lokasi utama acara ini turut menyumbang kepada keunikan Rimba Raid.
“Dikenali sebagai ‘Mini Amazon’, tasik ini dikelilingi bukit-bukau dan hutan hujan tropika, menawarkan panorama yang memukau dan menjadi destinasi pilihan untuk aktiviti sukan air dan rekreasi.
“Lenggong juga kaya dengan budaya dan tradisi yang unik. Hidangan tradisi seperti kebebe yang menggabungkan pelbagai bahan dengan rasa pahit, manis, masin, dan pedas, adalah lambang keaslian warisan kulinari Lenggong.
“Begitu juga dengan pekasam, hidangan ikan air tawar yang diperam bersama beras goreng, memberikan cita rasa masam dan lemak yang istimewa. Ini adalah keunikan rasa Lenggong yang tidak akan dijumpai di tempat lain,” katanya.
Jelas beliau lagi, kehadiran para peserta dan pengunjung dari seluruh dunia ini turut membuka peluang luas kepada peniaga dan usahawan tempatan untuk menonjolkan produk dan perkhidmatan mereka.
“Ini adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan produk-produk tempatan seperti kraftangan, makanan tradisi, dan pelbagai lagi kepada pasaran yang lebih luas.
“Inilah masa untuk kita mengangkat Lenggong sebagai destinasi utama pelancongan yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Rimba Raid Lenggong 2024 bermula 25 hingga 29 September merupakan acara lasak melibatkan motosikal berkuasa tinggi yang melalui jarak perlumbaan sejauh 300 kilometer di dalam hutan di Lenggong. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Selepas 8 tahun di Pahang, Rimba Raid ‘berhijrah’ ke Lenggong