Banjir Sungai Siput: 30 keluarga orang asli terputus hubungan

SUNGAI SIPUT – Sebanyak 30 keluarga dari dua perkampungan masyarakat Orang Asli di sini, terputus hubungan dalam kejadian banjir yang melanda perkampungan mereka pada pagi Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, mangsa dianggarkan lebih 100 orang yang merupakan penduduk dari Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein.

Menurut beliau, usaha membawa semua mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong berhadapan kesukaran ekoran laluan masuk turut dinaiki air.

“Penduduk Orang Asli di dua kampung tersebut terputus hubungan dengan pihak luar ekoran tidak boleh keluar, jadi bantuan untuk masuk juga sedikit sukar.

“Buat sementara waktu ini, mereka menggunakan dewan kampung, namun saya dimaklumkan keadaan dan kemudahan di dewan tersebut serba kekurangan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di sini, pada Ahad.

Mohd Zolkafly yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak berkata, satu pelan tindakan sedang diatur bersama jabatan dan agensi terlibat.

Jelas beliau antara agensi terlibat adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan penduduk Orang Asli yang terjejas banjir mendapat bantuan sewajarnya.

“Buat masa ini paling penting adalah memastikan semua mangsa ini mendapat bekalan makanan, bantuan-bantuan lain akan diusahakan secepatnya,” katanya.

Terdahulu MG Perak melaporkan kejadian banjir yang melanda di beberapa kampung sekitar Sungai Siput seperti Kampung Lasah, Kampung Lintang, Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein disifatkan sebagai antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun ini.

Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat selepas empat buah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka di daerah Kuala Kangsar setakat jam 6 petang pada Ahad.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan berkata, empat buah PPS dibuka di Daerah Kuala Kangsar bagi menempatkan mangsa banjir sekitar Sungai Siput sejak pagi hingga petang tadi.

Menurut JPBN Perak, empat PPS yang dibuka melibatkan Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Baru Lintang, DOR Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah, Dewan Pandak Hamzah, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah sekitar Sungai Siput. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir di Sungai Siput terburuk selepas 2014 – Penduduk

Mangsa banjir di Perak bertambah, empat lagi pps dibuka

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI