Mangsa banjir di Perak terus meningkat

IPOH – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di Negeri Perak terus meningkat setakat petang Jumaat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPM) Perak dalam satu kenyataan berkata, seramai 1,548 mangsa ditempatkan di PPS di lima daerah setakat jam 2 petang, berbanding 1,473 sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah itu jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Daerah Hilir Perak meningkat daripada 105 kepada 181, dalam tempoh sama.

Menurutnya lagi, kesemua mangsa daripada 51 keluarga itu dipindahkan dari tiga kawasan terjejas banjir iaitu Kampung Permatang Pelanduk, Kampung Air 4 Sungai Tungku serta Kampung Selat Manggis Sungai Kerawai.

“Seramai 149 mangsa daripada 48 keluarga terjejas banjir masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak, sejak ia dibuka pada Isnin.

“Sementara di Perak Tengah, 33 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sagor (95 mangsa daripada 27 keluarga), serta PPS SMK Sultan Muzafar Shah 1 (82 mangsa daripada 33 keluarga),” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Tambahnya lagi, 41 mangsa daripada 15 keluarga yang terkesan dengan banjir di Daerah Kampar dipindahkan sementara di SK Kota Baharu sejak PPS itu diaktifkan pada Rabu.

Ujarnya, di Kerian pula, dua PPS iaitu di SK Changkat Lobat dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai masing-masing menempatkan 35 serta 29 mangsa daripada 11 dan sembilan keluarga.

“Dalam pada itu, di Kuala Kangsar, 903 mangsa banjir daripada 282 keluarga dipindahkan sementara di tiga PPS.

“PPS di SK Lasah menempatkan 217 mangsa daripada 64 keluarga, dan 474 mangsa daripada 144 keluarga di Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, Sungai Siput.

“Sementara PPS di SMK RLKT Lasah Sungai Siput masih menempatkan 212 mangsa daripada 74 keluarga terjejas banjir di daerah berkenaan,” katanya lagi/

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberitahu, tiga sungai di Perak melepasi aras amaran sementara satu melepasi aras waspada.

Katanya, sungai yang melepasi aras amaran, Sungai Rui Hulu Perak dengan catatan 165.72 meter, Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang di Kampar (22.03 meter) serta Sungai Bidor di Changkat Jong Hilir Perak (3.23 meter).

Ujarnya lagi, sementara paras Sungai Perak di Teluk Sena di Perak Tengah merekodkan lepasi aras waspada iaitu 11.27 meter. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan: 

Mangsa banjir di Perak Tengah bertambah, empat daerah lain kekal

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI