100 kotak makanan diagihkan kepada penduduk Kampung Beng Dalam

LENGGONG – Sebanyak 100 kotak makanan telah diagihkan kepada penduduk Kampung Beng Dalam di sini sempena Program Kampung Angkat MADANI anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Sabtu.

Bantuan bakul makanan itu disumbangkan Yayasan Food Bank Malaysia dan 50 unit jaket keselamatan daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) turut diserahkan kepada wakil nelayan di kampung berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sumbangan tersebut adalah pengisian program inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memperkukuhkan hubungan masyarakat setempat dengan jentera kerajaan.

Menurutnya, melalui program khidmat masyarakat seperti ini secara tidak langsung dapat menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuhkan jalinan silaturrahim antara pihak kerajaan dengan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kampung Angkat MADANI anjuran Maritim Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan dan Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, program tersebut juga mengeratkan hubungan Maritim Malaysia dengan masyarakat seiring dengan salah satu daripada Teras Tujuh yang beliau perkenalkan iaitu Pengukuhan Jalinan.

“Melalui pengukuhan hubungan ini, ia sekaligus membina rasa saling percaya serta sokongan yang lebih mendalam antara agensi dan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, turut dilaksanakan aktiviti gotomg royong melibatkan lebih 100 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia bagi mengindahkan surau, membersihkan serta membaiki pondok wakaf tanah perkuburan termasuk stor simpanan peralatan jenazah.

Beberapa replika aset agensi dipertontonkan kepada umum selain jenis pakaian serta senjata yang digunakan penguat kuasa ketika melaksanakan operasi serta berkongsikan maklumat berkenaan peranan dan tanggungjawab serta peluang kerjaya dalam Maritim Malaysia. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Yayasan Perak tetapkan kriteria NGO bagi pengagihan kotak makanan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI