‘Pembangkang mahu rampas Perak? Tak salah berangan’ – Saarani

GERIK – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan kenyataan pembangkang yang mendakwa akan merampas pentadbiran Kerajaan Perak dalam tempoh terdekat sebagai ‘angan-angan’.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata ini kerana perkara itu dilihat sukar untuk berlaku kerana Enakmen Antilompat Parti telah dilaksanakan di Perak selepas diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember tahun lalu.

“(Jika pembangkang mahu rampas Perak) dalam masa terdekat, ini bermakna mereka kena cari ‘jalan belakang’ dengan mengalih sokongan atau ‘mencuri’ sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan untuk ‘melompat’ menyokong mereka.

“Dan ini sudah tentu tidak akan berlaku kerana saya nak beritahu kepada orang ramai jangan bimbang, kerana Perak sudah ada undang-undang melarang ADUN bertukar parti. Jika ada ADUN yang berbuat demikian, mereka akan kehilangan kerusi mereka itu.

“Jadi, biarlah pembangkang dengan angan-angannya merampas perak. Tidak mengapa, tidak salah untuk berangan, bukan kena bayar pun kalau hendak berangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cermin mata bagi Program Yayasan Perak Eye Sinar 2023 bersempena Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar bersama warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak di sini, pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi YAB Menteri Besar bersama warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 OKTOBER 2023

Dalam pada itu, Saarani mengulangi ketegasannya dalam berusaha untuk sentiasa mempertahankan pentadbiran Kerajaan Perak ketika ini dan tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan kepada pihak pembangkang.

“Jika mereka (pembangkang) berjuang bermati-matian untuk merampas negeri ini, saya hendak beritahu kami pun akan berjuang bermati-matian untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Perak,” ujarnya lagi.

Saarani sebelum itu diminta untuk mengulas berkenaan kenyataan ADUN Kamunting, Mohd Fakhrudin Abd Aziz yang berharap agar Pas dapat memerintah Perak dalam masa terdekat iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Media melaporkan kenyataan itu dibuat ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 di Shah Alam pada Sabtu lepas.

Kemudian, pada Selasa Parti Amanah Negara (Amanah) Perak membuat laporan polis terhadap ADUN Pas itu kerana menyifatkan kenyataannya sebagai menimbulkan ketidakstabilan serta menghilangkan keyakinan pelabur terhadap negeri. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Dakwa sentuh 3R, AMANAH Perak gesa ADUN Kamunting disiasat

MGPerak: Islam Diancam Jika Kerajaan Perpaduan Memerintah? Amanah Perak Buat Laporan Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI