TANJUNG MALIM – Penyanyi dan pencipta muzik tersohor tanah, Datuk M Nasir akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Sabtu.
Selain itu, istiadat yang berlangsung sehingga 30 November di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah itu turut akan menyaksikan vokalis Kumpulan Lefthanded, Datuk Nash, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganugerahan kepada M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed adalah berdasarkan perjalanan seninya sejak tahun 1979.
Katanya, pelantun lagu Mentera Semerah Padi itu turut menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021.
Tambah beliau, malah Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd yang diterajui maestro muzik itu juga menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak dari tahun 2016 hingga kini.
“Sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik, ia mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.
“Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats bertajuk `Senandung Semalam’ pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah `Hujan’ yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu ujar beliau, Nash atau nama sebenar, Nashrudin Elias yang aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1986 terkenal dengan lagunya ‘Pada Syurga Di Wajahmu’ pada tahun 1922 dan ‘Zahir Tak Terucap’ (1993).
Tambah beliau, dua insan seni ini akan mempersembahkan nyanyian masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama konvokesyen.
Dr Md Amin berkata, konvokesyen UPSI kali ke-26 menyaksikan seramai 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 154 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (943), Ijazah Sarjana Muda (4,768), Diploma (755) dan 552 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
“Canselor UPSI yang juga Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan majlis istiadat dan menyampaikan ijazah kepada graduan pada sesi pertama.
“Pada sesi ini juga, penghargaan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran Diraja dan Pingat Emas Canselor,” jelasnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: