M Nasir bakal bawa Konsert Pesta Rakyat ke Ipoh

IPOH – Kejayaan konsert Gendang Pati Datuk M Nasir yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan jolokan ‘sifu’ masih lagi relevan terhadap penyanyi tersohor tanah air itu.

Susulan kejayaan konsert tersebut, penyanyi yang sudah lebih empat dekad dalam industri hiburan itu mula mengatur pelbagai perancangan termasuk bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pengerusi Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) itu berkata, kerjasama dengan MBI akan melibatkan aktiviti seni terutamanya muzik berikutan penyenaraian Bandar Raya Ipoh dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik, baru-baru ini.

Menurutnya, antara perancangan yang dibuat termasuklah mengadakan pesta rakyat dan konsert pada tahun hadapan.

“Ini adalah salah satu daripada pelbagai perancangan aktiviti kesenian yang akan diadakan secara berterusan untuk menyokong MBI menjayakannya sebagai bandar kreatif muzik.

“Selain konsert, kita turut merancang untuk mengadakan pesta rakyat serta bekerjasama bersama beberapa penerbit di sini untuk membuat filem atau produksi televisyen.

“Kita juga sedang mengkaji tempat yang sesuai, tetapi pastinya akan diadakan di tengah-tengah lokasi ramai orang yang suka menonton konsert,” katanya ketika ditemui MG Perak di Hotel M Roof, di sini, pada Rabu.

Bakal bawa 'pesta rakyat', konsert ke Ipoh
Pengerusi MACP, Datuk M. Nasir pada temu bual bersempena pengiktirafan Ipoh Bandar Muzik di Hotel M Roof, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 NOVEMBER 2023.

Pelantun lagu ‘Mantera Semerah Padi’ itu turut mengadakan Cipta Ekspres bagi mengumpul pencipta lagu yang ada di dalam MACP untuk bersama beberapa hari bagi mencipta lagu.

Katanya, Cipta Ekspres memang sudah lama dilaksanakan bagi memberi peluang anak muda khususnya mengembangkan kreativiti mereka dalam muzik.

Menyentuh berhubung pembabitan anak muda di Ipoh dalam muzik, beliau berkata sejak kebelakangan ini terdapat ‘turun naik’ dalam industri itu.

“Sebenarnya saya sudah ikut Ipoh ini sejak saya berada dalam industri muzik dan kemeriahan muzik di sini ada naik dan turun.

“Sekarang kita lihat aktiviti muzik banyak tertumpu di Kuala Lumpur kerana orang ramai serta segala syarikat rakaman dan persembahan seperti konsert berlaku di sana.

“Tapi Ipoh ada potensi kerana sejak tahun 80-an Ipoh jadi tumpuan bagi peminat muzik terutamanya sekali muzik rock dan sekarang masih banyak lagi peminat muzik termasuk genre lain. Jadi, saya ingat potensi memang ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, M Nasir berkata, untuk menarik orang ramai bertumpu kepada muzik perlu ada penganjuran seperti konsert dan pesta yang melibatkan orang ramai berkumpul.

“Mungkin Ipoh boleh menganjurkan bulan seni yang tidak terhad kepada muzik bertempat di tengah bandar raya ini.

“Aktiviti seni terutamanya muzik perlu diadakan dari semasa ke semasa kerana takkan kita nak menamakan tempat bandar kreatif muzik tapi sesekali sahaja diadakan aktiviti berkaitan muzik,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Infrastruktur seni muzik di Ipoh sedang dinaik taraf

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI