Moh layan wayang pacak filem Mamat Khalid

IPOH – Peminat seniman terkemuka, Allahyarham Mamat Khalid berpeluang menonton karya terkenalnya apabila Tourism Perak menganjurkan wayang pacak di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah selama tiga hari bermula 30 Disember ini.

Tourism Perak melalui hebahan dalam laman Facebook rasminya memaklumkan, tayangan wayang pacak secara percuma ini sebagai penghormatan kepada Allahyarham yang sudah menghasilkan lebih 30 filem sepanjang hayatnya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu banyak menghasilkan filem berunsurkan komedi satira serta menonjolkan elemen negeri ini sama ada dari segi penggunaan bahasa atau lokasi.

“Filem pertama yang akan ditayangkan adalah Man Laksa Dalam Malam Amal Kampung Talang pada jam 2.30 petang 30 Disember diikuti Zombi Kampung Pisang pada 3.30 petang, keesokkannya (31 Disember).

“Sempena tahun baharu (1 Januari), filem pecah panggung Hantu Kak Limah Balik Rumah pula akan ditayangkan pada jam 8 malam,” jelas hantaran tersebut.

Tayangan filem itu diadakan bersempena Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang tahun Baru 2024.

Hantaran itu turut meminta orang ramai membawa peralatan bersesuaian untuk keselesaan mereka ketika menonton wayang pacak.

“Kome digalakkan membawa kerusi ‘healing’ atau ‘bean bag’ untuk keselesaan. Usoh riso kome! Masuk adalah percuma,” menurut hantaran berkenaan.

Allahyarham Mohamad Mohamad Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid ialah seorang pengarah filem, penulis dan lakon layar Malaysia yang terkenal dengan filem-filem bercorak komedi.

Bagaimanapun, adik kepada kartunis terkemuka, Datuk Lat itu meninggal dunia pada tanggal 24 Oktober 2021, akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Tanjung Malim. –  MG Perak

Artikel Berkaitan:

M Nasir bakal bawa Konsert Pesta Rakyat ke Ipoh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI