Konvokesyen USAS: Peniaga nasi lemak sebak anak terima anugerah

KUALA KANGSAR – Pengorbanan seorang bapa membesarkan lapan cahaya mata dengan hasil menjual nasi lemak terbalas apabila anak perempuannya menerima Anugerah Menteri Besar Perak, sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17.

Awang Kecil Yahya, 51, dari Pulau Pinang berkata, saat melihat anak keduanya Nur Masitah diumum sebagai salah seorang penerima anugerah membuat dia berasa bangga dan terharu.

“Saya betul-betul sebak kerana saya yang atur (besarkan) dia dari kecil sampai ke universiti, hantar dan ambil dari sekolah rendah sampai menengah.

“Bila tiba saat ini rasa tidak boleh tahan perasaan sedih, rasa berbaloi apa yang pak cik korbankan selama ini iaitu masa untuk keluarga selama 25 tahun usahakan demi kejayaan anak-anak.

“Tidak boleh nak kawal lagi perasaan saya, rasa terharu pengorbanan selama ini terbalas dan itu yang dirasakan pada hari bahagia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MG Perak selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17, di Dewan Jubli Kuala Kangsar, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Nur Masitah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab berkata, kejayaannya itu didedikasikan buat kedua-dua orang tuanya yang banyak berkorban membesarkan dia bersama adik-beradik.

Penerima Anugerah Menteri Besar Perak, Nur Masitah Awang Kecil (tengah) bergambar bersama kedua ibubapanya, Awang Kecil Yahya (kiri) dan Noriza Taib (kanan) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 NOVEMBER 2024.

Dia yang kini sedang menyambung pelajaran dalam Diploma Pascasiswazah Pendidikan itu berkata, kesusahan yang dilalui ayahnya bangun seawal jam 4 pagi bagi menyediakan nasi lemak untuk jualan menjadi pembakar semangat.

“Bila tengok ayah bangun jam 4 pagi masak nasi lemak dan kita pergi belajar ayah beri duit terus saya nekad sampai bila kami harus hidup susah saya kena belajar betul-betul dan pulun.

“Alhamdulillah berkat doa ayah dan ibu saya berjaya pada hari ini dan akan kejar cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah,” katanya.

Nur Masitah turut berkongsi rahsia kejayaannya dengan mengutamakan ibadah kepada Allah S.W.T. serta kedua orang tuanya.

Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 di Dewan Jubli Perak di sini.

Istiadat Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,798 graduan merangkumi ijazah doktor falsafah (PhD) seramai tujuh orang, ijazah sarjana (36), diploma pascasiswazah (14), ijazah sarjana muda (768) dan diploma (973). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen USAS ke-17

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI